Sekilas pandang telefon pintar Samsung Galaxy Fold ini mengingatkan penulis kepada telefon Nokia Communicator 9000 yang mula diperkenalkan pada 1996 dan cukup popular disebabkan saiznya yang memanjang serta lengkap dengan papan kekunci QWERTY seakan sebuah komputer kecil.

Model terakhir Nokia Communicator diperkenalkan pada 2007 menerusi Nokia E90 dan beransur-ansur mula digantikan dengan telefon pintar yang memiliki skrin sepenuhnya termasuklah jenama Samsung.

Ciri yang menjadi persamaan ialah rekaan memanjang bentuk badan Fold dan Nokia 9000, tebal dan dilengkapi engsel pada bahagian tengah.

Seakan sejarah kembali berulang, telefon yang memiliki skrin besar mungkin bakal menjadi pencetus revolusi telefon pintar pada masa hadapan kerana kelebihan saiz skrin yang memberi kepuasan untuk sama ada untuk menonton video atau berinteraksi di platform media sosial.

Apa yang pasti ialah kehadiran Galaxy Fold yang mula memasuki pasaran Malaysia pada 9 Oktober lalu adalah peranti eksklusif yang menggabungkan sebuah telefon pintar dan sebuah tablet yang mudah dibawa ke mana-mana sahaja kerana paparan skrinnya boleh dilipat dan selesa pada poket seluar anda.

Selain paparan skrin dalaman lebih besar bersaiz 7.3″ Dynamic AMOLED, telefon pintar ini juga disertakan dengan skrin luar memanjang 4.6 inci sudah cukup menjadikan penulis teruja kerana diberi peluang mengujinya selama 10 hari termasuk diberikan penerangan ringkas mengenai ciri keistimewaannya di ibu pejabat Samsung, baru-baru ini.

Selain skrin yang besar, pengguna juga boleh memisah atau mengubah saiz skrinnya mengikut ‘selera’ masing-masing ketika skrin lipat ini dibuka. Sebanyak 3 aplikasi boleh dibuka pada masa sama misalnya jika anda sedang menggunakan aplikasi WhatsApp, anda boleh skrol gambar di aplikasi galeri gambar disebelah.

Untuk mengaktifkan tiga aplikasi ini pengguna hanya perlu menatal dari bahagian kanan skrin seperti ciri Samsung Edge dan pilih sahaja mana-mana aplikasi untuk digunakan sekaligus aplikasi yang disokong dalam Multi Window akan dipaparkan.

Begitu juga, jika anda sedang asyik menonton YouTube dan tiba-tiba menerima mesej, tontonan anda tidak terganggu kerana anda boleh membalas mesej tanpa gangguan. Segala-galanya boleh dilakukan pada masa serentak. Hebat bukan!

Pandangan peribadi penulis, ciri ini cukup praktikal dan mudah digunakan khususnya mereka yang gemar melayari penstriminan video atau kaki ‘gamers’ yang mahukan lebih kepuasan dengan saiz skrin yang besar.

Cuma apabila skrin lipat ni dibuka, secara kasar dapat melihat sedikit garisan lekuk ditengah skrin namun memberi kepuasan untuk menaip dengan mudah.

Galaxy Fold dipadankan dengan sistem pemproses Snapdragon 855 dengan memori sebesar 12GB RAM dan storan sebesar 512GB.

Telefon ini dilengkapi enam kamera iaitu bahagian luar hadapan kamera swafoto 10-Megapixel (MP) manakala kamera utama pada bahagian belakang ialah 12 + 16 + 12 MP yang sama seperti pada model pintar S10, S10+, Note 10 dan Note 10+.

Kamera swafoto pada bahagian dalaman yang boleh dilipat pula adalah 10 + 8 MP yang sama seperti S10+ lengkap dengan sensor pengesan kedalaman. Sebuah lampu flash disertakan hanya untuk kegunaan tri-kamera pada bahagian belakang.

Dua bateri yang digunakan pula mempunyai kapasiti gabungan 4380 mAh dan hanya 80 mAh lebih besar berbanding yang digunakan pada Note 10+. Ia dicas menerusi port USB-C tetapi hanya menyokong pengecasan dengan output 15W sahaja. Dengan cas penuh, peranti ini mampu bertahan lebih sehari mengikut tahap penggunaan yang boleh dilihat menerusi aplikasi yang disediakan.

Wayar pengecas yang disertakan dari jenis USB-A ke USB-C dan juga sokongan mengecas secara niwayar 15W dan PowerShare 9W untuk mengecas aksesori lain secara nirwayar seperti jam pintar S3 atau fon telinga.

Sepasang pembesar suara stereo diletakkan pada bahagian sisi dengan talaan dari AKG. Apabila di dalam mod tablet, kedua-dua audio dari pembesar suara ini menembak ke sisi sebagaimana tablet lain di pasaran.

Spesifikasi lain ialah bluetooth 5.0 dan WiFI 6 bagi mereka yang inginkan kelajuan Internet yang lebih pantas.

Bagaimanapun, terdapat sedikit kelemahan pada telefon ini iaitu rekaan engselnya yang terbuka, menyebabkan Fold secara rasminya tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air ataupun debu.

Antara fungsi menarik Galaxy Fold

  • Always On Display : Skrin memaparkan notifikasi sepanjang masa tanpa menggunakan bateri yang tinggi
  • Continue App : Menyambung aplikasi pada skrin hadapan terus ke skrin utama sejurus selepas skrin dibuka
  • Device Care : Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus dan juga penggunaan RAM
  • Game Launcher : Mod permua yang menghalang gangguan ketika sedang bemain
  • Hide Camera Cutout : Memastikan tiada elemen skrin tersorok di belakang takuk kamera yang besar pada skrin boleh lipat
  • Melancarkan kamera dengan pantas : Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali
  • Navigation bar : Dua pilihan navigasi iaitu tri-butang atau Full Screen Gesture
  • Kedudukan butang navigasi juga boleh diubah ke kiri, kanan dan tengah mengikut keselesaan
  • Night Mode : Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri
  • One Handed Mode : Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau tatalan dari bawah ke atas skrin
  • Pengecasan Nirwayar Dua Arah : Peranti boleh dicas semula secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar
  • Samsung DeX : Kini boleh berfungsi pada PC dan Mac selain boleh dipaparkan pada TV atau monitor secara sambungan berkabel.

Kesimpulannya

Galaxy Fold ialah peranti skrin boleh lipat pertama keluaran Samsung dan mungkin juga pertama di dunia.

Meskipun saiznya besar dan dapat merasai sendiri berat peranti ini iaitu 265 gram, namun ia sebenarnya memang sesuai digunakan oleh mereka yang suka menulis dalam blog atau portal selain mahu mengedit apa saja nota yang perlu seperti slaid untuk pembentangan projek kepada pelanggan.

Bagaimanapun, penggunaan Fold amat dilarang sekiranya anda sedang memandu kerana saiznya yang panjang tidak praktikal selain beratnya. Justeru, penulis mencadangkan gunakanlah Fold apabila anda berada dalam keadaan statik dengan meletakkannya diatas meja dan bukannya ketika sedang bergerak kecuali anda sedang berbual atau membuat panggilan telefon.

Daripada segi kualiti gambar, oleh kerana Fold memiliki penggunaan sensor yang sama, kemampuan fotografi dan videografi pada Fold adalah sama seperti yang ditemui pada Note 10+.

Penghasilan warna dan kejituan gambar yang terhasil adalah amat memuaskan dalam situasi pencahayaan yang baik. Malah gambar menggunakan teknik bokeh boleh dilakukan dengan telefon pintar ini.

Sistem kecerdasan buatan Scene Optimiser memastikan tetapan yang paling tepat digunakan untuk setiap gambar yang diambil. Malah ia dilengkapi ciri cadangan kedudukan gambar terbaik yang membantu mengambil sudut fotografi yang cantik.

Telefon pintar ini amat sesuai digunakan oleh golongan profesional atau mereka yang sanggup ‘melabur’ besar untuk memiliki telefon berharga lebih RM8,000 ini disebabkan pelbagai fungsinya boleh menggantikan sebuah komputer riba.

Rekaannya yang futuristik menjadi kelebihan kepada Samsung dalam merintis dunia evolusi telefon pintar dunia dan yakin pasti ada pengeluar lain yang akan mengikuti jejak ini dengan memperkenalkan telefon yang boleh dilipat pada harga yang jauh lebih rendah.

Nasihat penulis ialah mereka yang ingin memiliki Fold harus tahu tujuan sebenar kegunaan telefon ini malah kena cukup berhati-hati dengan skrin diperbuat daripada bahan polimer yang inovatif dan mungkin terdedah kepada kerosakan tidak seperti skrin kaca.

Anda tidak digalakkan menekan terlalu kuat ke atas skrin ini tetapi menggunakannya dengan lebih ‘lembut’.

Peranti ini juga amat sensitif kerana tidak disokong oleh ciri kalis air atau debu yang biasanya berlaku pada telefon pintar lain.

Bahasa paling mudah ialah telefon ‘manja’ tetapi penuh dengan pelbagai fungsi yang tiada lagi pada mana-mana telefon pintar yang ada di pasaran sekarang.

SPESIFIKASI

Samsung Galaxy Fold

  • Pemproses: Snapdragon 855
  • RAM: 12GB
  • Storan: 512GB
  • Kamera utama: 12MP + 12MP + 16MP
  • Kamera swafoto: 10MP + 8MP
  • Bateri: 4,380mAh
  • SIM/Telefon: Nano SIM
  • Infra Merah: Tiada
  • Kalis Air: Tiada
  • Sistem Imbasan: Cap jari
  • Harga Jualan: RM8,388