Honda memperkenalkan versi terbaharu superbike lagendanya, CBR1000RR-R Fireblade dan Fireblade SP 2020 yang mana pelumba MotoGP dari Sepanyol, Marc Marquez dari Pasukan Repsol Honda diberi peluang menunggang uji jentera terbaharu itu di litar Montmelo, Sepanyol.

Sebagaimana dapat dilihat daripada rekaan motosikal itu yang keseluruhannya serba baharu, Fireblade ini dipadankan dengan enjin empat silinder sebaris 999.9 cc yang mampu menghamburkan kuasa 215 hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm tork pada 12,500 rpm.

Rekaan hebat oleh jurutera Honda itu berjaya menampilkan ciri paling penting iaitu aerodinamik sebagaimana jerit Marc Marquez dalam video tunggang ujinya, ‘Acceleration Is There!!’ sekali gus memuji kehebatan jentera itu dilitar.

Versi CBR1000RR-R Fireblade SP adalah satu versi yang lebih tinggi dengan suspensinya dinaik taraf dengan unit Ohlins EC 43mm NPX di hadapan dan TTX36 Smart-EC di belakang, manakala brek pula ditukar dengan angkup Brembo Stylema di hadapan dan Brembo monoblock di belakang.

Menurut Honda, winglet yang dipasang mampu memberikan downforce sama seperti RC213V-S dan ia juga adalah superbike yang paling aerodinamik dalam pasaran.

Meninjau kepada aspek elektronik, motosikal ini dilengkapi sistem ‘throttle by wire’, tiga mod tunggangan dengan pilihan penukaran tahap kuasa enjin, engine braking serta Wheelie Control, Honda Selectable Torque Control (HSTC) sembilan tahap, Slip Rate Control, pengesan IMU dan launch control yang dipanggil sebagai Start Mode.

Kedua-dua bahagian suspensi CBR1000RR-R ini boleh dilaras sepenuhnya, dengan di hadapan menggunakan fork Showa 43 mm BPF manakala di belakang pula menggunakan unit Showa Balance-Free Rear Cushion dan Pro-Link dengan penyerap HMAS.

Brek adalah cakera berkembar 330 mm di hadapan dengan angkup Nissin empat piston dan cakera 220 mm serta angkup Brembo dua piston di belakang.

Jom saksikan video Marc Marquez menunggang uji motosikal Honda CBR1000RR-R Fireblade SP Terbaharu dibawah ini.