Program Pembangunan Bakat Badminton (BTDP), satu usahasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Perodua, telah mencapai kemuncak tahun kedua dengan munculnya 14 juara muda kebangsaan.
Kejohanan Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Arena Badminton Perak, Ipoh dari 17 hingga 20 Oktober, menyaksikan seramai 224 peserta akhir dari seluruh Malaysia bersaing dalam 11 kategori yang dipertandingkan.
“Dilancarkan bersama oleh Perodua dan KPM pada Februari 2018, BTDP adalah program pembangunan modal insan seluruh negara untuk jangka masa lima tahun, bertujuan mencari dan mencungkil bakat badminton Malaysia masa hadapan di kalangan murid-murid sekolah rendah, dengan harapan mereka dapat mewakili negara suatu hari nanti,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Seperti tahun pertama, program 2019 bermula pada bulan Mac dengan 140 jurulatih melatih 2,800 murid-murid sekolah rendah di 70 pusat pembangunan badminton yang dikenal pasti di seluruh negara.
Tahun lepas, hanya lapan kategori dipertandingkan melibatkan atlet murid berumur 9 hingga 11 tahun. Namun, tahun ini, BTDP memperkenalkan atlet murid berumur 12 tahun – terdiri daripada peserta 11 tahun dari tahun lepas – menerusi tiga kategori tambahan iaitu Perseorangan Lelaki, Perseorangan Perempuan dan buat kali pertama, Beregu Campuran.
Atlet-atlet murid ini telah melalui kejohanan di peringkat pusat dan negeri/Wilayah Persekutuan untuk sampai ke peringkat kebangsaan.
“Apa yang menarik mengenai BTDP adalah kami tidak hanya melihat keupayaan atlet murid di gelanggang sahaja. Di sepanjang latihan, kami juga menerapkan nilai-nilai positif seperti hormat-menghormati, disiplin, tekad, semangat kesukanan, ketepatan masa, rendah diri serta penjagaan kebersihan diri dan persekitaran.
“Kami juga menggalakkan mereka untuk mengamalkan gaya hidup yang seimbang antara sukan, akademik dan keluarga. Kami percaya nilai-nilai seperti ini haruslah dipupuk dari muda,” katanya.
“Ada di kalangan anak-anak ini yang tidak berasal daripada keluarga berada, malah ada yang tidak pernah menyentuh raket badminton sebelum ini. Sebagai sebuah syarikat Malaysia yang mengutamakan insan, Perodua bangga dapat bekerjasama dengan KPM untuk mengubah kehidupan anak-anak ini.
“Mereka telah diberi peluang untuk mewakili sekolah dan negeri, dan tidak lama lagi, negara kita yang tercinta – seperti tahun lepas, kami berhasrat membawa juara-juara muda kami ke Tokyo pada awal tahun hadapan untuk bersaing dengan juara-juara muda Jepun dan Indonesia di Kejohanan Badminton Junior 3 Negara yang dianjurkan oleh Daihatsu Motor Company of Japan.
“Perodua mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua atlet murid kerana menyertai BTDP 2019. Keyakinan, kemahiran dan potensi anda memang jelas kelihatan. Kami dan seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dan yakin bahawa anda semua dapat meraih kejayaan pada masa-masa akan datang,” katanya.
Juara Kebangsaan Program Pembangunan Bakat Badminton KPM-Perodua 2019 | ||
Kategori | Pemenang | |
Perseorangan Lelaki 9 tahun | Marcus Hang Yug Hwei (Pahang) | |
Perseorangan Perempuan 9 tahun | Mirza Batrisyia Aghnia Nazri (Pulau Pinang) | |
Perseorangan Lelaki 10 tahun | Lee Jiet Han (Selangor) | |
Perseorangan Perempuan 10 tahun | Ong Xin Ru (Kuala Lumpur) | |
Perseorangan Lelaki 11 tahun | *Lim Boon Le (Pahang) | |
Perseorangan Perempuan 11 tahun | Chloe Lam Jing Yee (Kuala Lumpur) | |
Beregu Lelaki 11 tahun | Arshdip Singh a/l Darshan Singh (Selangor) | Muhd Razin Aqeef Doni (Selangor) |
Beregu Perempuan 11 tahun | Lee Kay Xin (Kuala Lumpur) | Teh Xin Ying (Kuala Lumpur) |
Perseorangan Lelaki 12 tahun | *Kee Is Qian (Kedah) | |
Perseorangan Perempuan 12 tahun | *Dania Sofea Zaidi (Johor) | |
Beregu Campuran 12 tahun | Low Hao Feng (Kuala Lumpur) | Yap Jing Ning (Kuala Lumpur) |
*Johan buat kali kedua
Anugerah Khas Program Pembangunan Bakat Badminton KPM-Perodua 2019 | |
Pasukan Terbaik Kejohanan | Kuala Lumpur |
Kontinjen Negeri/WP Terbaik | Labuan |
Pengelolaan Terbaik Negeri | Sarawak |
Pusat Terbaik | SK Taman Rakyat, Alor Setar |