Kembali buat kali kedua selepas kejayaan acara sulung pada 2017, Sunway The Good Run sekali lagi menarik penyertaan lebih daripada 7,000 rakyat Malaysia untuk menyertai acara larian di atas laluan bertingkat Bas Rapid Transit (BRT) – Laluan Sunway dan di sekitar Bandar Sunway.

Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor dan Selangor Youth Community (SAY), hadir untuk merasmikan acara larian dan melepaskan peserta larian bagi kategori perlumbaan 5KM bersama Sarena Cheah, Pengarah Eksekutif Sunway Berhad dan Lau Beng Long, Pengarah Urusan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan, Sunway Group.

Sebagai seorang aktivis terkenal dalam gerakan penggunaan amalan eko-lestari, melalui kempen #sayno2plastic ” (katakan ‘tidak’ kepada plastik) di media sosial, -, Tengku Zatashah bertegas bahawa, “Perubahan minda masyarakat tidak akan berlaku dalam sekelip mata, kita perlu bijak untuk membuat pilihan secara sedar, dan seterusnya menjadikan pilihan tersebut sebagai amalan berterusan.

Sunway The Good Run menyokong usaha ke arah perubahan ini dengan meningkatkan kesedaran tentang eko-lestari dan kesedaran tentang isu kesihatan dalam acara larian ini. Apa yang menjadikannya lebih menarik, acara larian ini turut mendidik peserta untuk membuat pilihan yang perlu bagi memastikan kehidupan yang lebih sihat dan selamat.”

Acara larian ini diadakan sempena ulang tahun ke-20 penubuhan Sunway Medical Centre (Pusat Perubatan Sunway) dengan kerjasama oleh Rapid KL dan Majlis Perbandaran Subang Jaya, Sunway The Good Run telah berjaya menghimpunkan seramai 7,000 peserta dan mengumpulkan kira-kira RM275,000 untuk menampung kos rawatan perubatan pesakit penghidap kanser dari golongan B40 menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Media Prima-NSTP Humanitarian Fund).

Sarena Cheah, Pengarah Eksekutif Sunway Berhad berkata, “Sunway The Good Run menjadi platform untuk menghimpunkan dan menyatukan masyarakat bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).

Sempena ulang tahun ke-20 Sunway Medical Centre, larian tersebut mengadakan kategori khas iaitu 20KM dan bukannya kategori biasa 21KM (separuh maraton). Tujuannya adalah untuk menggalakkan amalan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Sebanyak 20 hadiah juga telah disampaikan kepada pemenang yang bertuah. Larian amal ini juga menerapkan aspek kelestarian dengan menggalakkan pengurangan bahan buangan dan plastik sekali guna. Tiada cawan kertas dan plastik sekali guna disediakan sepanjang acara larian.

Para peserta dilihat membawa botol sendiri untuk mengisi air di stesen air yang disediakan. Bukan itu sahaja, peserta larian berlari dengan kemeja-T Dri-FIT yang diperbuat daripada polietilena tereftalat, atau PET dikitar semula (RPET).

Sunway The Good Run juga amat penting bagi kumpulan bekas pesakit kanser dari Sunway Medical Centre, yang berpakat untuk menyertai acara larian 5KM sebagai sumbangan bermakna dan tanda galakan kepada pesakit kanser lain yang sedang berjuang menentang penyakit.