Dalam diam tak diam, model MPV premium keluaran Honda ini sudah memasuki generasi kelima. Apa yang membezakan Honda Odyssey yang terbaharu ini ialah dilengkapi pelbagai ciri keselamatan termaju termasuk Honda Sensing.

Penulis masih lagi teringat apabila Honda mula-mula memperkenalkan model ini di pasaran tempatan dengan pintu penumpang belakang jenis bukan bercirikan gelungsur sama seperti kereta sedan.

Kini menerusi menerusi versi facelift, Honda sekali lagi mempertaruhkan ciri pintu gelungsur yang lebih praktikal dan nampak premium selain pelbagai ciri MPV moden.

Odyssey facelift 2018 hanya ditawarkan dalam varian tunggal EXV (dua varian sebelum ini), dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM254,800.

Model versi dipertingkatkan ini muncul dengan rekaan sedikit berbeza dari model asal. Paling ketara ialah rekaan gril hadapan bercirikan ‘Honda Wings’ yang lebih tebal, manakala jalur melintang di bawahnya kini lebih nipis dengan empat tingkat berbanding tiga pada model sebelumnya selain kekemasan jalur krom.

Bercerita mengenal jalur krom, hampir disekeliling badan MPV tujuh tempat duduk ini dihiasai dengan jalur krom dan paling ketara jika dilihat daripada pandangan sisi apabila jalur krom dipadankan dari pintu hadapan hingga ke belakang.

Bampar model ini juga menerima sentuhan baharu apabila liang kemasukan udara pada kedua-dua sisi kini lebih kecil dan dipadankan dengan perumah lampu kabus LED yang direka mendatar.

Odyssey facelift 2018 ini juga menerima roda aloi 17-inci pelbagai jejari dengan rekaan baharu.

Melihat kepada rekaan bahagian belakang MPV ini pula, logo ‘Odyssey’ yang sebelum ini terletak pada panel kemasan yang menghubungkan lampu kiri dan kanan kini telah dialihkan pada bahagian bawah kiri pintu tailgate.

Sebahagian besar bahagian kabin masih lagi sama seperti model sebelumnya. Namun pada model facelift ini, Odyssey diberikan kekemasan kerusi boleh laras elektrik 4-tetapan dengan rekaan geometrik unik baharu dan ruang simpanan tambahan.

Meskipun fokus diberikan kepada penumpang, namun rekaan kerusi pemandu dan penumpang hadapan juga tidak diabaikan kerana anda dapat merasai sendiri keselesaan kerusi hadapan yang dipadankan dengan perehat tangan yang lebih besar serta praktikal.

Malah ruang meletak barangan juga lebih banyak dan luas disediakan dihadapan manakala butang kawalan mudah dicapai oleh pemandu. Butang kawalan pelbagai fungsi tetapan untuk MPV ini juga dipadankan pada stereng.

Melihat kepada konfigurasi kedudukan tempat duduk juga tidak berubah di mana barisan kedua menerima dua tempat duduk jenis kapten Ottoman yang boleh digelangsarkan dengan menerima perehat tangan dan perehat kepala yang lebih besar.

Apa yang menarik perhatian penulis ialah kerusi baris kedua ini boleh dilaras dengan merapatkan kedudukannya atau dipisahkan untuk menyediakan lorong ditengah-tengah.

Keselesaan kerusi penumpang belakang menjadikan ia sebuah MPV yang boleh memuatkan tujuh-orang manakala tempat duduk barisan kedua dan ketiga juga boleh dilipat sekiranya anda memerlukan ruang kargo yang lebih besar.

Dibangunkan berasaskan platform lantai-ultra-rendah menyumbang kepada ruang kabin lebih luas selain posisi pemanduan tinggi dan lantai lebih rendah.

Bagi pengguna tegar gajet, terdapat 4 sambungan USB disediakan sekali gus memberikan keselesaan kepada mereka yang memiliki anak-anak mengecas gajet masing-masing ketika menempuh perjalanan yang jauh.

Namun, disebalik kesemua keselesaan yang ditawarkan, perkara paling utama ialah ciri pakej sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang terdiri daripada tujuh sistem bantuan pemanduan:

  1. Cruise Control Adaptif (ACC) – menetapkan kelajuan dan selang jarak dengan kenderaan di hadapan
  2. Sistem mengekor kelajuan rendah (Low-Speed Follow atau LSF)
  3. Sistem amaran perlanggaran hadapan (Forward Collision Warning System atau FCW) – akan mengeluarkan amaran secara visual dan bunyi kepada pemandu apabila kamera monokular dan radar gelombang millimeter mengesan wujud risiko pelanggaran dengan kenderaan di hadapan
  4. Sistem brek menghindari perlanggaran (Collision Mitigation Braking System atau CMBS) – membantu menekan brek secara progresif apabila ia mengesan risiko berlakunya pelanggaran
  5. Bantuan kekal lorong (Lane Keeping Assist System atau LKAS) – menggunakan kamera untuk membaca garis jalan dan membantu pemandu agar kenderaan sentiasa berada di bahagian tengah laluannya
  6. Sistem amaran pertukaran lorong (Road Depature Mitigation System atau RDM) – memberi amaran, menekan brek dan membantu mengekalkan stereng agar pemandu tidak terbabas keluar dari jalan raya
  7. Amaran keluar lorong (Lane Departure Warning atau LDW) – memantau posisi kenderaan menggunakan kamera dan memberi amaran kepada pemandu jika ia melepasi garisan jalan

Honda Odyssey bagi pasaran Malaysia ditawarkan dengan enjin petrol Earth Dreams 2.4 liter DOHC i-VTEC empat silinder.

Enjin ini mampu menghamburkan kuasa 175 PS pada 6,200 rpm dan tork maksimum 225 Nm pada 4,000 rpm serta dipadankan dengan kotak gear CVT automatik pacuan roda hadapan yang menawarkan penjimatan bahan api terbaik.

Untuk menjimatkan kadar penggunaan bahan api, tekan sahaja butang ECON yang terletak dibahagian sisi kanan pemandu.

Ciri lain yang saling melengkapi sistem keselamatan lain ialah sensor parkir dengan dua dihadapan dan empat dibelakang, sistem penyaman udara dua zon di hadapan bersama sistem zon tunggal untuk kabin belakang, sistem infotaimen dengan skrin sesentuh tujuh-inci, kamera undur serta pintu gelungsur belakang berkuasa elektrik.

Bagi sistem keselamatan pula, Odyssey 2018 dilengkapi enam beg udara iaitu dua di hadapan, sisi dan tirai, sistem pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, Bantuan Parkir Pintar, bantuan mula mendaki, VSA serta sistem brek ABS lengkap dengan EBD dan bantuan brek.

Tiga warna ditawarkan iaitu warna asal Super Platinum Metallic serta dua warna baharu Platinum White Pearl dan Premium Twinkle Black Pearl.

Setiap pembelian model ini ditawarkan waranti lima tahun tanpa had perbatuan, termasuk tempoh selang servis setiap 10,000km.

Kesimpulan

Memandu model MPV ini bersama seisi keluarga amat menyeronokkan kerana perjalanan jauh tidak dirasakan terlalu penat. Ini kerana kerusi ’empuk’ yang disediakan dalam kenderaan ini cukup selesa.

Saiz badan yang tidak terlalu besar dan rekaan lantai yang rendah memberikan kelebihan daripada segi keluar dan masuk kepada penumpang belakang. Ciri ini dilihat amat praktikal sekiranya anda membawa penumpang yang sudah berusia lanjut.

Selain itu, corong penyaman udara yang tersedia lengkap dengan lampu individu diatas kepala penumpang belakang memberikan keselesaan penuh.

Padanan sistem Honda Sensing juga adalah satu pakej lengkap yang menjadikan Honda Odyssey sebuah MPV yang memiliki sistem keselamatan canggih dan termaju pada masa kini.

Dilengkapi bumbung suria dibahagian pemandu dan penumpang hadapan juga memberikan nilai eksklusif pada MPV yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini.

SPESIFIKASI

Honda Odyssey 2.4L

Enjin: 2,356cc, Earth Dreams Technology™, DOHC i-VTEC
Kuasa maksimum: 129kW pada 6,200rpm
Tork maksimum: 225Nm pada 4,000rpm
Transmisi: CVT tujuh kelajuan
Tangki : 55 liter
Saiz tayar : 215/55R17
Harga: RM258,896 (tidak termasuk insurans dan SST)