Dengan laungan slogan “Lahir di Malaysia, Kegemaran Sedunia”, Tealive kini mengorak langkah ke utara rantau Asia Tenggara dengan pembukaan kedai pertamanya di Myanmar – negara ketiga di ASEAN selepas Vietnam dan Brunei.
Bertempat di pusat membeli-belah terkemuka, Junction Square, Yangon, kedai Tealive di negara tersebut dibuka secara rasminya pada Sabtu lalu menerima sambutan hangat peminat-peminat teh di Myanmar yang beratur panjang semata-mata untuk menikmati minuman signatur Tealive, Teh Susu Pearl dengan Gula Perang dan juga minuman dari siri “Bang Bang” yang mengandungi pearl bersalut gula perang yang suam dan lembut.
Pembukaan di Myanmar ini adalah ekoran daripada sambutan hangat pembukaan kedainya di pusat membeli-belah Aman Hills, Bandar Sri Begawan, Brunei pada bulan lepas.
Bryan Loo, selaku pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, amat teruja dengan sambutan yang diterima dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para peminat teh di Myanmar atas sokongan padu yang diberikan, yang mana ianya selaras dengan niat Tealive untuk meggembirakan setiap insan menerusi minuman teh.
“Kami amat teruja dengan sokongan yang diberikan kepada kami serta sambutan hangat para peminat teh di Myanmar terhadap Tealive,” katanya.
Loo berkata, “Sebagai sebuah jenama ASEAN yang tidak asing buat para peminat teh di Myanmar, kami percaya ramai yang telah merasai sendiri kelazatan teh Tealive di Malaysia, justeru memberi keyakinan untuk kami maju ke hadapan lebih awal berbanding jenama-jenama asing yang lain.”
“Selain itu, kami juga merupakan jenama teh gaya hidup pertama yang memaparkan dispenser teh yang menghadap pelanggan di kaunter, lantas menjadikannya satu pengalaman yang lebih baik bagi pelanggan kami,” katanya.
Loo turut berkata rakan kongsi tempatan mereka, Myanmar Food for Thought Co Ltd (MFFT), telah memutuskan untuk membuka sebanyak lima buah kedai Tealive menjelang akhir tahun 2019.
“Kami mempunyai keyakinan sepenuhnya terhadap pasukan MFFT kerana mereka adalah pemain berpengalaman di dalam industri makanan dan minuman Myanmar dengan rekod prestasi yang memberangsangkan selama lebih daripada enam tahun.
Buat masa ini, mereka mengendalikan 20 buah outlet yang merangkumi jenama serantau dan juga tempatan di Myanmar,” katanya.
“Dengan sambutan yang menggalakkan di Vietnam, Brunei dan kini di Myanmar, kami juga telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah lagi rakan kongsi untuk memasuki pasaran Filipina, sebuah pasaran yang sedang giat berkembang di rantau ASEAN,” kata Loo.
Pengarah Urusan MFFT Arvinder Singh dan Gerald Lee mengucapkan setinggi penghargaan kepada Loob Holding kerana telah memberikan keyakinan tinggi terhadap mereka lalu membawa kepada kejayaan pembukaan kedai Tealive yang pertama di Myanmar.
“Tealive merupakan jenama yang paling menarik dibawa oleh kami ke Myanmar kerana ia adalah jenama yang terkenal dengan kelazatan teh hasil buatan tangan di rantau ini.
Tambahan pula, kami mempunyai ramai pelanggan yang sudah lama menanti pelancaran Tealive di Myanmar,” katanya.
“Pelancaran Tealive di negara ini tepat pada masanya memandangkan Myanmar telah sekian lama membudayakan minuman teh. Kami percaya budaya teh moden yang dipelopori oleh Tealive adalah suatu perkembangan yang menarik untuk negara ini yang mempunyai ramai penduduk berusia muda dan sentiasa menginginkan pengalaman yang baharu.” Lee menambah.
Tealive ialah sebuah jenama teh gaya hidup terulung di Malaysia dengan pembukaan kedai setiap minggu, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 317 buah kedai di serata Malaysia. Ia juga turut mempunyai kedai di China, Vietnam, Brunei, Australia, dan di United Kingdom.