Fook Loi Corporation (Sabah) Sdn Bhd buka pusat 4S Proton terbesar di Kota Kinabalu
Fook Loi Corporation (Sabah) Sdn Bhd, (Fook Loi) secara rasminya membuka Pusat 4S Proton terbesar pertama di Malaysia dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Pegangan pasaran keseluruhan syarikat kini adalah pada 15% iaitu sebanyak 52,269 unit kereta telah dijual, pertumbuhan sebanyak 47% berbanding tempoh yang sama pada 2018.
Prestasi yang memberangsangkan ini telah menarik perhatian banyak pelabur seperti Fook Loi. Bagi Thomas Chiu Kui Yin, Pengarah Eksekutif Kumpulan Fook Loi, keputusan yang diambil untuk menjadi pengedar Proton adalah mudah.
“Keputusan yang diambil untuk menjadi pengedar Proton tidak sukar kerana kami yakin pada potensi Proton di Sabah.
“Rangkaian model Proton sedia ada sangat berdaya saing dan mempunyai teknologi yang canggih serta dilengkapi ciri-ciri yang mampu menarik minat generasi pembeli kereta baharu,” katanya.
Secara ideal, setiap cawangan mestilah mempunyai keluasan yang besar, selesa dengan persekitaran yang menarik dan dilengkapi kemudahan seperti WiFi percuma, ruang kanak-kanak, ruang parkir yang luas dan ruang minuman, untuk memastikan pelanggan berpuas hati.
“Usaha-usaha ini telah membuahkan hasil. Jualan Syarikat kini semakin meningkat dan melalui pengenalan produk-produk baharu, kami yakin bahawa Syarikat di berada di landasan yang tepat untuk mendapat semula keuntungan,” kata Dr Li Chunrong.