Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) meraih tiga pengiktirafan sempena penganjuran Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran Malaysia (MEPA) 2019 atas sumbangannya terhadap pertumbuhan pembayaran elektronik (e-pembayaran) di Malaysia.
PADA majlis berkenaan, Bank Islam menerima pengiktirafan untuk kategori Best Customer Experience (Direct Debit), Best Direct Debit Bank dan Best FPX Bank.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pengiktirafan Best Customer Experience (Direct Debit) buat kali kedua, susulan kemenangan pertama pada 2017, adalah bukti usaha berterusan Bank Islam untuk berada di barisan hadapan sektor perbankan digital di Malaysia.
“Bank Islam terus berazam meneruskan perjalanan Tranformasi Digital kami dengan mengambil kira perubahan dan membawa teknologi ke dalam penyelesaian-penyelesaian berasaskan Shariah yang mana merupakan sebahagian daripada aspek penting dalam mencapai pertumbuhan yang mampan.
Memberikan perkhidmatan yang seiring dengan trend digital semasa akan mempertingkatkan pengalaman perbankan pelanggan untuk melaksanakan transaksi perbankan mereka dengan selamat dan lancar. Ia juga merupakan satu keutamaan strategik bagi kami untuk melaksanakan usaha-usaha mewujudkan nilai,” katanya.
Anugerah-anugerah yang diterima Bank Islam telah disampaikan oleh Penolong Gabenor, Adnan Zaylani Mohamad Zahid kepada Mohd Muazzam di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, pada 31 Julai lalu.
MEPA adalah satu acara tahunan anjuran Payments Network Malaysia (PayNet) yang memberi pengiktirafan terhadap pencapaian terbaik bank, perniagaan dan agensi-agensi kerajaan yang telah memberikan sumbangan signifikan terhadap kecemerlangan, inovasi dan pertumbuhan sektor e-pembayaran di Malaysia.
Baru-baru ini Bank Islam telah berada pada kedudukan teratas senarai liga Sukuk Global Bloomberg buat kali pertama pada separuh pertama tahun ini, melonjak daripada aras ke-27 (setakat akhir 2018). Ia meraih 17.31% bahagian pasaran Sukuk Global, setelah berjaya menguruskan urusniaga-urusniaga utama yang menjana nilai sukuk berjumlah AS$5.15 bilion (RM21.01 bilion).
Buat kali pertama, Bank Islam juga telah mendahului senarai liga Pasaran Modal Malaysia Bloomberg bagi kategori Penerbitan Bon dan Sukuk Islam Ringgit Malaysia, masing-masing menguasai 34.71% dan 38.28% pasaran, setakat 30 Jun 2019.
Muazzam berkata, pihaknya berbesar hati kerana dipilih untuk menerima penghormatan ini. Ia tentunya tidak dapat dicapai tanpa sokongan dan usaha keras warga kerja Bank Islam, serta kepercayaan yang diberikan oleh para pelanggan.
“Kami akan terus berusaha untuk menyampaikan produk-produk kewangan dan perkhidmatan patuh Shariah yang relevan dan inovatif bagi memenuhi keperluan para pelanggan kami,” katanya.