Taman Tema Lost World of Tambun, Ipoh Perak mencatat sejarah tersendiri apabila ukiran bongkah ais sepanjang 60 meter dengan pelbagai elemen tarikan diiktiraf sebagai rekod ukiran ais terpanjang dalam Asia Book of Records.

KESEMUA ukiran yang mengambil masa 26 jam untuk disiapkan itu diberikan pengiktirafan kerana berjaya memenuhi syarat agar bentuk ukiran dikekalkan sekurang-kurangnya selama dua jam selepas kerja-kerja bermula pada jam 7.15 petang sehingga selesai pada 9.15 malam.

Ukiran yang dihasilkan termasuk haiwan seperti kuda dan pelbagai jenis burung yang terdapat dalam ‘petting zoo’, selain kolam air panas dan permainan air serta bentuk tiang taman tema itu.

Pengurus Besar Lost World of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, impian untuk mengukir nama dalam Asia Book of Records mula timbul kira-kira setahun lalu dengan tujuan memberi latihan kepada pelajar jurusan kulinari menerusi aktiviti ukiran ais.

“Daripada idea tersebut, kita mulakan usaha termasuk kajian dan akhirnya kita berjaya kumpulkan kira-kira 25 pengukir ais senior, 25 pengukir ais amatur dari seluruh negara yang dibantu oleh 67 pelajar dari Kolej Komuniti Chenderoh, Kuala Kangsar.

“Ini satu pengalaman yang amat mencabar kerana selain cuaca yang panas di sini juga ada kolam air panas dan kita perlu mengekalkan bentuk ukiran ais itu sekurang-kurangnya dua jam namun dengan bakat yang ada pada pasukan kita berjaya laluinya,” katanya.

Sijil Asia Book of Records disampaikan oleh wakilnya, Evelyn Kuppa dan Grace Kuppa.

Selain Lost World of Tambun dan Nurul Nuzairi, turut mendapat sijil Asia Book of Records adalah tiga cef yang mengetuai pasukan pengukir iaitu cef Sabri Hassan, cef Ahmad Tarmizi Ismail dan cef Harun Jalil.

Sabri ketika ditemui menyifatkan kejayaan memahat nama Lost World of Tambun dalam Asia Book of Records itu merupakan satu kebanggaan.

“Ini adalah pertama kali (ukiran ais terpanjang) dilakukan dan mendapat pengiktirafan Asia Book of Records… ini semua untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 250 bongkah ais digunakan dengan berat setiap satu dianggar 100 kilogram untuk menghasilkan ukiran dengan ketinggian struktur utama kira-kira 3.9 meter. -Bernama

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini