TM Menyerahkan Pelannya kepada KKMM dan MCMC

SETELAH berjaya menaik taraf seramai 973,000 orang pelanggan unifi kepada kelajuan yang lebih tinggi, Telekom Malaysia Berhad (TM) semalam menyerahkan pelannya kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Rosli Man, (3rd from right) submitted TM’s to Gobind Singh Deo, (3rd from left), while flanked by Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, Communications, Multimedia, NGO and Cooperative Development Exco (2nd from left); Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Secretary General of KKMM (2nd from right); Tuan Al-Ishsal Ishak, Chairman of MCMC (right) and Deputy State Secretary (Development) of Perak, Mu’az Zawawi (left)

Pelan ini untuk membantu baki seramai 934,000 orang pelanggan Streamyx dan unifi untuk meluaskan lagi liputan dan kualiti internet di negara ini.

Pengumuman berkenaan pelan tersebut telah dilakukan oleh Pengerusi Kumpulan TM, Rosli Man di sidang media bersempena Kembara Digital Malaysia yang berlangsung di Ipoh, Perak.

Turut hadir Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia; Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KKMM; Tuan Al-Ishsal Ishak, Pengerusi MCMC, Dato’ Noor Kamarul Anuar Nuruddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM dan Imri Mokhtar, Ketua Pegawai Operasi, TM.

TM juga bercadang untuk mendapatkan penglibatan Kerajaan Malaysia di dalam pelaksanaan pelan ini dengan menggunakan dana sedia ada bagi menyediakan akses jalur lebar yang lebih baik kepada kawasan yang memerlukan, terutamanya luar bandar dan pinggir bandar, sejajar dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

TM akan menangani kekangan jalur lebar rangkaian tembaga menerusi pelbagai teknologi yang bersesuaian termasuklah fiber, wayarles dan GigaWire yang bakal dilaksanakan secara berperingkat bermula semalam sehingga 2021.

Dijangkakan 70% daripada kumpulan pelanggan ini akan dapat menikmati perkhidmatan unifi menjelang akhir 2020.

TM juga telah mengumumkan pakej jalur lebar baharu berkepantasan sehingga 8Mbps pada harga RM89 sebulan untuk pelanggan-pelanggan kediaman manakala, para pelanggan kediaman Streamyx sedia ada pula akan dapat menikmati pakej ini pada harga RM69 sebulan.

Selain itu, sementara pelaksanaan rangkaian baharu disempurnakan pada tahun 2021, TM juga akan melancarkan perkhidmatan jalur lebar wayarles sebagai alternatif bagi menyelesaikan isu- isu yang dihadapi oleh para pelanggan Streamyx.

Maklumat lanjut akan diumumkan tidak lama lagi di bawah program #khabarbaik Syarikat.

Rosli berkata, “Kami amat komited untuk menyelesaikan isu-isu Streamyx dan kami percaya bahawa pelan ini adalah langkah jangka panjang bukan sahaja bagi menangani kekangan jalur lebar rangkaian tembaga tetapi juga untuk menyediakan asas kepada pengalaman internet yang lebih baik buat semua pelanggan sedia ada dan yang akan datang di seluruh negara.

“Kami mengharapkan pendekatan secara kolaboratif dan bekerja rapat dengan pihak Kerajaan, Kementerian dan MCMC akan membawakan pengalaman jalur lebar berkelajuan tinggi secara efektif ke arah merealisasikan aspirasi Negara Digital Malaysia.”

TM telah menyempurnakan program naik tarafnya pada bulan April 2019 dengan 973,000 orang pelanggan unifi telah berjaya dinaik taraf kepada 10 kali ganda daripada kelajuan sedia ada mereka; 266,000 orang pelanggan Streamyx di kawasan liputan unifi telah dinaik taraf ke unifi dan 226,000 orang pelanggan Streamyx di luar liputan unifi telah dinaik taraf kepada 2 kali ganda kelajuan sedia ada, di kawasan-kawasan yang tiada halangan teknologi.

Aktiviti ini telah membantu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam senarai sambungan kelajuan internet global. Pada bulan Februari 2019, Indeks Ujian Kelajuan Global oleh Ookla melaporkan bahawa kelajuan muat turun jalur lebar tetap di Malaysia telah meningkat hampir tiga kali ganda ke 70.18Mbps berbanding 22.26Mbps setahun lalu.

Malaysia kini berada di tangga ke-28 di dunia berbanding tangga ke-56 pada tahun 2017. Malah, MCMC juga telah melaporkan bahawa langganan jalur lebar tetap dengan kelajuan melebihi 100Mbps telah meningkat dengan pesat dari 150,000 pada tahun 2017 ke 1.2 juta pelanggan pada tahun 2018.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini