Wakaf merupakan salah satu instrumen penting yang dapat membangunkan pendidikan setiap individu dan masyarakat. Wakaf dalam bidang pendidikan adalah pelaburan penting untuk melahirkan modal insan yang berkualiti.

Sejarah telah membuktikan bahawa amalan wakaf dalam bidang pendidikan melahirkan institusi-institusi pengajian yang berkekalan yang melahirkan tokoh ulama terkenal.

Rajah 2.0: Prasarana Institusi Pendidikan Wakaf dan Zakat

Antaranya Universiti Cordova di Andalus dan Universiti Al-Azhar di Mesir. Menurut Asmak
(2009) wakaf merupakan salah satu instrumen penting yang turut membantu dalam
pembangunan pendidikan.

Sebagai contoh di Malaysia, sumbangan wakaf dalam bidang pendidikan di Tanah Melayu bermula seawal penubuhan institusi pendidikan pondok dan madrasah. Beberapa buah IPT di Malaysia mengambil langkah proaktif memperkenalkan skim wakaf berasaskan konsep waqf based university atau waqf university.

Antara yang terawal memperkenalkannya adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada bulan Mac tahun 1999 yang dibangunkan dengan dana Kerajaan Malaysia berjumlah RM3.5 juta selain dana wakaf sumbangan individu, tokoh korporat, hartawan daripada dalam dan luar negara.

Zakat juga mempunyai peranan yang besar bagi pembangunan pendidikan kepada setiap golongan masyarakat. Zakat turut berperanan sebagai pemangkin kepada keberkesanan sistem pendidikan di Malaysia.

Dana zakat bagi pembangunan pendidikan dapat membantu mengatasi masalah keciciran pelajaran dan membasmi kemiskinan jangka masa panjang. Pendidikan dan pembelajaran yang berterusan di setiap peringkat sekolah rendah, menengah, pengajian tinggi sehingga berjaya dapat membuka peluang pekerjaan yang cerah dan menjamin masa depan yang baik.

Kepentingan zakat dari sudut ekonomi pula tidak dinafikan lagi dalam menjana pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan dalam masyarakat dan membebaskan manusia dari belenggu kemiskinan melalui penyediaan saraan hidup atau modal yang mencukupi bagi golongan yang memerlukan.

Peranan zakat dalam bidang pendidikan umpamanya diagihkan melalui penyediaan skim bantuan secara langsung dan tidak langsung kepada asnaf bagi tujuan pendidikan.

Realitinya dalam konteks pendidikan di Malaysia, kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan. Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM36 billion pada 2012 dan RM38.7 billion pada 2013.

Rajah 1.0: Model Institusi Pendidikan Wakaf dan Zakat

Jumlah peruntukan ini dilihat terus meningkat terutamanya pada 2014, iaitu sebanyak RM54.6 billion kepada Kementerian Pendidikan. Ini membuktikan bahawa pendidikan menjadi sandaran utama dalam membangunkan negara (Bernama, 2013).

Justeru, institusi zakat seperti Pusat Zakat dan unit Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri-negeri di 14 buah negeri di Malaysia turut meringankan beban kerajaan dengan menyediakan bantuan pendidikan melalui zakat. Skim bantuan pendidikan daripada zakat disalurkan dalam kalangan fakir dan miskin bagi menampung perbelanjaan untuk pendidikan.

Ini penting bagi mengelak berlakunya keciciran pembelajaran disebabkan kemiskinan.
Pelaksanaan sistem wakaf dan zakat memberikan impak positif bukan hanya kepada golongan kaya, malah turut memberi kesan kepada golongan fakir dan miskin.

Sistem wakaf dan zakat telah berkembang di seluruh pelusuk dunia termasuk Malaysia yang telah banyak menyumbang dalam pembangunan ekonomi dan pendidikan. Melihat kepada manfaat yang disalurkan melalui sistem zakat dan wakaf, kelestarian dari sudut pembangunan institusi pendidikan diyakini dapat diperkasakan melalui sinergi dana wakaf dan zakat.

Di Malaysia, bidangkuasa pentadbiran wakaf dan zakat adalah tertakluk kepada setiap negeri dan masih tiada sistem pengurusan berpusat yang khusus bagi mewujudkan kelestarian dalam pembangunan institusi pendidikan melalui sinergi wakaf dan zakat.

Di Malaysia sehingga kini masih tidak terdapat institusi pendidikan yang beroperasi menggunakan dana wakaf dan zakat sepenuhnya dilaksanakan.

Peranan Wakaf Dan Zakat Dalam Institusi Pendidikan Di Malaysia

Wakaf pendidikan di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

  1. Bermula di sekolah pondok dan madrasah.
  2. Wujudnya wakaf pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN).
  3. Wakaf pendidikan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Di Malaysia, Ahmad Zaki et. al. (2008) mendapati terdapat 175 buah institusi pendidikan wakaf di Malaysia meliputi wakaf di sekolah pondok, madrasah, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Negeri, pusat latihan dan kemahiran, pusat dakwah serta pusat pengajian warga emas.

Daripada jumlah tersebut, Perak merupakan negeri yang mempunyai institusi pendidikan wakaf yang paling banyak iaitu sebanyak 40 buah, diikuti oleh Kedah, 29 buah dan Johor, 27 buah institusi pendidikan wakaf.

Manakala Wan Kamal Mujani (2014), Najibah Mustaffaa dan Mohd Zamro bin Mudaa (2014) menyatakan terdapat beberapa Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia yang serius menjadikan konsep wakaf sebagai kaedah penjanaan kewangan bagi universiti seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia (UM).

Agenda wakaf institusi pendidikan tinggi terbukti mendapat tempat di Malaysia dengan wujudnya universiti wakaf pertama di Malaysia iaitu Universiti Islam Malaysia (UIM) yang terletak di Cyberjaya.

Ia merupakan satu-satunya universiti pertama ditubuhkan di bawah naungan Majlis Raja-raja Melayu pada 12 Oktober 2010. UIM dianggap sebagai pelopor kepada wakaf pendidikan negara dan akan dijadikan panduan untuk penubuhan wakaf institusi pendidikan tinggi di masa akan datang (Mohd Syakir, 2015).

Institusi zakat seperti Pusat Zakat dan unit Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri di 14 buah negeri di Malaysia banyak membantu institusi pendidikan berdasarkan skim-skim bantuan pendidikan yang disediakan kepada pelajar asnaf yang secara tidak langsung membantu kerajaan Malaysia dalam menangani masalah pendidikan dalam kalangan fakir dan miskin.

Perkembangan institusi wakaf dan zakat yang amat baik diyakini dapat membangunkan sebuah institusi pendidikan berkonsepkan dana wakaf dan zakat pada masa akan datang.

Cadangan Model Institusi Pendidikan Melalui Dana Wakaf Dan Zakat

Usaha dan langkah ke arah penubuhan institusi Pendidikan berasaskan dana wakaf dan zakat perlu mempunyai perancangan yang teliti dan sistematik.

Rajah 3.0: Pandangan Luar Institusi Pendidikan Wakaf dan Zakat

Empat domain utama menjadi kerangka asas penubuhan institusi Pendidikan berasaskan dana wakaf dan zakat iaitu pengurusan pembangunan, pengurusan pentadbiran, pengurusan akademik dan pengurusan kewangan.

Model Institusi Pendidikan Melalui Sinergi Dana Wakaf dan Zakat merupakan transformasi baharu dalam sistem pendidikan kebangsaan yang diyakini dapat menyelesaikan isu keciciran pelajaran bagi kumpulan kurang bernasib baik di Malaysia.

Cadangan penubuhan institusi ini diharapkan dapat membantu semua anak fakir dan miskin di Malaysia mendapat peluang pendidikan dari peringkat rendah hingga menengah seterusnya pengajian tinggi pada masa akan datang dengan terlaksananya pendekatan baharu ini.

Cadangan rekabentuk institusi Pendidikan wakaf dan zakat dibentuk dengan mengambil kira konsep pembinaan masjid al-haram di Mekah.

Rajah 1.0: Model Institusi Pendidikan Wakaf dan Zakat

Rajah 2.0: Prasarana Institusi Pendidikan Wakaf dan Zakat

Rajah 3.0: Pandangan Luar Institusi Pendidikan Wakaf dan Zakat

Kesimpulannya

keperluan penubuhan sebuah institusi pendidikan baharu yang dibiayai sepenuhnya menggunakan dana wakaf dan zakat perlu dikaji dan diteliti secara menyeluruh oleh Majlis Agama Islam Negeri dan pihak-pihak berkaitan.

Penggunaan dana wakaf dan zakat dalam konteks pendidikan harus disernegikan sebaik mungkin untuk mencapai objektif yang maksimum. Institusi pendidikan berasaskan dana wakaf dan zakat ini diharapkan dapat memastikan golongan asnaf berpeluang memperoleh pendidikan yang sama rata dan berkualiti.

Cadangan ini juga dapat mewujudkan satu inovasi baharu dalam sistem agihan zakat di Malaysia dan pembangunan wakaf melalui penubuhan institusi pendidikan yang dibiayai
sepenuhnya melalui dana wakaf dan zakat yang pertama di Malaysia.

Artikel ini sumbangan:

Prof. Madya Dr Azman Ab Rahman
Timbalan Pengarah
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia INFAD
Fakulti Syariah Dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia
Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
[email protected]