MINI Malaysia memperkenalkan MINI Convertible terbaharu sempena Ulang Tahun MINI yang ke-60.
MINI Convertible dengan bumbung fabrik dibuka secara elektrik yang pertama (soft top) diperkenalkan di Geneva Motor Show 2004 bersama reka bentuk signatur jenama terkemuka itu.
Pada tahun ini, MINI Convertible terbaharu kembali dalam jumlah terhad untuk meraikan Ulang Tahun MINI ke-60,” kata Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.
MINI Convertible hadir dengan reka bentuk baharu yang lebih menawan, inovasi dalam aspek teknologi pacuan, serta perkembangan perkhidmatan digital yang merupakan sebahagian daripada sistem MINI Connected.
MINI Connected generasi baharu yangvdidatangkan dengan teknologi SIM 4G menawarkan keupayaan keterhubungan yang ekstensif dan perkhidmatan yang diperibadikan untuk memaksimumkan ciri-ciri keselamatan dan kemudahan.
Hanya 20 unit MINI Convertible terbaharu yang akan ditawarkan kepada orang ramai.
Warisan MINI yang ikonik dikekalkan melalui portfolio reka bentuk MINI Yours yang membawakan lambang Union Jack, ia disulam ke atas fabrik pada bahagian bumbung jentera ini.
Bumbung ‘soft top’ tersebut dapat dibuka secara elektrik dalam masa 18 saat walaupun ketika kereta tersebut masih bergerak pada kelajuan setinggi 30 km/j.
Apabila bumbung berkenaan ditutup, lapisan fabrik yang berganda menebat bunyi hingar dan membekalkan keselesaan sepanjang perjalanan pengguna.
Bumbung ini berbeza daripada tawaran-tawaran yang lain terdapat dalam pasaran automotif kerana ia lebih senyap, serta bumbung tersebut mempunyai mekanisme pintar lipatan Z yang boleh dioperasikan dalam tiga tetapan, iaitu tetapan terbuka, tertutup dan sebagai bumbung matahari atau ‘sunroof’.
MINI Convertible terbaharu ini dilengkapi dengan lampu hadapan dan belakang dengan teknologi LED, kedua-duanya diserlahkan dengan reka bentuk yang mempesonakan.
Lampu hadapan LED memperlihatkan rekaan yang kemas dan serba moden. Pencahayaan waktu siang mengguna pakai indikator LED yang berkelip dalam bentuk bulat yang cantik.
Dikuasakan oleh set lampu dwi-LED, sinaran cahaya di hadapan menjamin tahap penglihatan dan keselamatan yang lebih baik untuk para pengguna. Lampu belakang pula menampilkan reka bentuk Union Jack yang menawan untuk mengungkapkan asal usul MINI.
Sebuah bingkai krom melingkari lampu belakang LED yang terdiri daripada dua bahagian untuk menyerlahkan lagi kemodenannya.
Eksklusif untuk MINI Convertible, set roda 17” dalam kpenggayaan ‘Rail Spoke’ bersama tayar ‘runflat’ ditawarkan untuk memperkayakan elemen keanggunan dan kemodenan jentera ini.
MINI Convertible terbaharu juga didatangkan dengan sistem muatan mudah atau terma Inggerisnya, ‘Easy Load’ yang meningkatkan ruang pembukaan kompartmen muatan dengan menarik bumbung ‘soft top’ di atas pintu but.
Enjin MINI TwinPower Turbo empat silinder berkapasiti dua liter yang dinaik taraf mampu menjana 192 kk (kuasa kuda) dan tork berjumlah 280 Nm.
Jentera ini berupaya untuk memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.1 saat, dan ia mengguna pakai bahan api berjumlah 5.7 liter untuk setiap 100 km dengan kelajuan tertinggi 230 km/j.
Enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi automatik Steptronic Sports tujuh kelajuan.
Fungsi Mula/Henti juga menjadikan pemanduan lebih menjimatkan kerana ia membantu untuk menentukan sama ada enjin kereta tersebut boleh dimatikan atau tidak dalam situasi yang sesuai untuk mengecapi tahap keefisienan yang lebih baik.
Tiga mod pemanduan MINI ditawarkan iaitu mod pemanduan GREEN, mod SPORT boleh dipilih untuk mewujudkan pengendalian dan pemecutan yang lebih responsif, atau mod MID boleh dipilih untuk memperoleh manfaat kedua-dua mod yang dinyatakan tadi.
Bahagian interior MINI Convertible diserikan dengan ‘Leather Chester’, material kulit disulam dalam bentuk berlian menerusi warna coklat, ‘Malt Brown’.
Tempat letak tangan di bahagian pintu serta kusyen lutut turut menyinambungkan penggayaan tempat duduk dalam warna coklat ‘Malt Brown’.
Dengan permukaan interior MINI Yours yang beriluminasi dalam warna hitam, ‘Piano Black’, pemilik kenderaan tersebut boleh memilih 12 opsyen warna berbeza yang diiluminasikan daripada lambang rekaan Union Jack.
Bahan kulit yang berkualiti tinggi turut dipilih dengan teliti untuk komponen stereng MINI Yours yang bermaterialkan ‘Nappa Leather’ dengan sulaman kontras berwarna aluminium.
MINI Convertible terbaharu kini menampilkan tuil pemilih elektronik dengan sistem rekaan baharu yang dapat kembali ke posisi asalnya selepas ia ditukar ke mod memandu ‘D’, posisi neutral ‘N’ dan mod mengundur ‘R’.
Pengunci parkir (parking lock) pula dapat diaktifkan dengan menekan butang ‘P’. Untuk mendukung gaya pemanduan ‘sporty’ serta untuk membolehkan intervensi secara manual dilakukan, pemilik kenderaan ini boleh mengaktifkan mod ‘S’ dari posisi ‘D’ dengan menggerakkan tuil pemilih gear ke arah kiri.
Aspek keselamatan dalam jentera baharu ini ditambah baik dengan sistem perlindungan olengan aktif (active rollover protection system) yang memastikan pemandu serta para penumpang mendapat perlindungan tambahan untuk bahagian kepala mereka sekiranya kenderaan tersebut terbalik akibat kemalangan.
MINI Convertible ini juga hadir dengan beg udara hadapan serta beg udara ‘pelvis-thorax’ (pelvis dan dada) untuk pemandu dan penumpang tempat duduk hadapan.
Ciri-ciri keselamatan yang selanjutnya meliputi Kawalan Jarak Parkir Belakang (Rear Park Distance Control), Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control” atau “DTC”) dan Kawalan Stabiliti Dinamik (“Dynamic Stability Control” atau “DSC”).
Kenderaan ini turut didatangkan dengan Paparan Skrin Sentuh 6.5 inci di MINI Centre Instrument.
MINI Connected memaksimumkan tahap keselamatan dan kemudahan menerusi keupayaan keterhubungan ekstensifnya serta perkhidmatan yang diperibadikan termasuk Panggilan Kecemasan Pintar, TeleServices, MINI Online, Apple CarPlay tanpa wayar dan Servis Jarak Jauh (Remote Services).
Dengan aplikasi MINI Connected, pemilik jentera lincah ini dapat merancang dan menyesuaikan pengalaman mobiliti harian mereka. Menerusi proses sinkronisasi yang dibuat antara aplikasi MINI Connected dengan kalendar peribadi, para pemilik akan ditemani oleh pembantu mobiliti peribadi mereka sendiri.
Ia juga membolehkan fungsi seperti “Send to Car” digunakan, melaluinya, aplikasi tersebut akan memindahkan laluan yang dirancang dalam telefon pintar pengguna kepada sistem navigasi kenderaan berkenaan; dan Jarak Laluan Terakhir (Last Mile Route) – navigasi berterusan melalui telefon pintar sementara pemilik berjalan keluar daripada kenderaan yang diparkir ke arah destinasi yang dituju; serta notifikasi peringatan seperti ‘Time-to-Leave Notification’ dan ‘Share Live Trip Status’ untuk membantu pemandu menepati jadual masa mereka.
MINI Convertible baharu ini akan menampilkan skim warna eksterior yang eksklusif dalam warna biru (Caribbean Aqua) untuk model berkenaan.
Penawaran warna yang lain turut meliputi warna merah (Chili Red), jingga (Solaris Orange), perak (Melting Silver) dan variasi biru ‘Starlight Blue’.
MINI Convertible terbaharu akan disediakan dalam bilangan yang terhad menerusi kesemua wakil pengedar MINI yang bertauliah di seluruh negara bermula 20 Julai 2019.
Harga jualan MINI Convertible terbaharu (atas jalan bagi pendaftaran peribadi, tanpa insurans) ialah: RM279,888.00