Perodua menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menggiatkan lagi keselamatan untuk 8,500 kakitangannya yang berulang-alik ke dan dari Ibu Pejabatnya di Sungai Choh.

PERODUA telah menjadi tuan rumah bagi Majlis Pelancaran Kempen ‘Perjalanan Selamat ke Tempat Kerja’ Peringkat Kebangsaan PERKESO 2019 yang telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran dan dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Dato’ Amir Omar.

Hadir sama Ketua Eksekutif PERKESO Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Zainal berkata, Perodua telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Program Keselamatan Jalan Raya jangka-panjang.

“Setelah mengadakan banyak aktiviti kesedaran untuk kakitangan kami, kami percaya bahawa kami kini bersedia untuk ke peringkat seterusnya iaitu Kiken Yochi, di mana kakitangan kami akan dididik mengenai cara-cara meramal bahaya,” katanya.

Sebelum majlis pelancaran, jurulatih PERKESO telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Vision Zero’ kepada kira-kira 150 kakitangan Perodua, termasuk 40 jurulatih dalamannya, meliputi topik seperti Kiken Yochi, memandu dengan berhati-hati dan kepentingan memeriksa kenderaan dari semasa ke semasa.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Lalu Lintas Bukit Aman Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin turut memberi ceramah mengenai peraturan jalan raya dan kesedaran mengenai keselamatan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada PERKESO kerana telah berkongsi banyak pedoman dan pengetahuan yang berguna mengenai keselamatan jalan raya, yang akan kami terapkan ke dalam silibus Keselamatan Jalan Raya Perodua.

Kami berhasrat untuk menyebarkan maklumat dalam silibus ini kepada semua kakitangan Ibu Pejabat kami dalam tempoh dua tahun,” katanya lagi.

“Sebagai pengeluar kenderaan yang terbesar di Malaysia dan antara majikan terbesar di Selangor, Perodua percaya bahawa ia menjadi tanggungjawab kami untuk menyumbang kepada usaha untuk mengurangkan kemalangan perjalanan ke tempat kerja.

“Kami benar-benar komited terhadap keselamatan dan berharap usaha kami boleh menjadi contoh kepada negara.

“Sebagai syarikat yang mengutamakan insan, Perodua sangat prihatin terhadap keselamatan dan kesejahteraan para pekerjanya, pelanggan dan masyarakat, kerana kami percaya keselamatan itu hak semua,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini