Lebih daripada 1,700 kakitangan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia), ahli keluarga dan rakan-rakan mereka berganding bahu mengumpul lebih RM350,000 untuk pertubuhan amal kanak-kanak tempatan di UOB Heartbeat Run/Walk.

DANA yang dikumpul akan disumbangkan kepada HOPE Worldwide Malaysia 1, Teach for Malaysia 2 dan Yayasan Sunbeams Home 3 bagi membantu kanak-kanak dari latar belakang sosioekonomi yang mencabar merealisasikan potensi mereka melalui pendidikan.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut bank itu memberi sokongan kepada tiga penerima ini. Dana yang dibahagikan sama rata kepada ketiga-tiga pertubuhan amal tersebut akan digunakan untuk program latihan guru dan kemahiran Bahasa Inggeris di seluruh negara.

Ia juga akan digunakan untuk membantu membayar kelas tuisyen, buku sekolah dan makanan kanak-kanak tersebut.

Acara tahunan UOB Heartbeat Run/Walk ini merupakan acara pengumpulan dana dan sukarelawan utama bank yang membolehkan kakitangan UOB Malaysia dan keluarga mereka bekerjasama untuk tujuan yang baik.

Ia merupakan sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) UOB Heartbeat, yang menumpu pada seni, kanak-kanak dan pendidikan. Tahun ini, para peserta telah berkumpul di Kompleks Sukan Air Putrajaya untuk mengambil bahagian dalam acara larian sejauh 10 kilometer, atau acara berjalan kaki yang menyeronokkan sejauh tiga kilometer bersama keluarga, untuk tujuan amal.

Wong Kim Choong, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia telah menyampaikan cek sumbangan kepada tiga penerima sumbangan pada majlis ini.

“Program CSR UOB Heartbeat ini menunjukkan komitmen jangka panjang kami untuk memperkayakan kehidupan, membuka minda dan mengeratkan silaturahim dalam masyarakat di mana kami beroperasi.

UOB Heartbeat Run/Walk diadakan serentak di China, Hong Kong, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam. Pada keseluruhannya, acara tahun ini mencatat rekod penyertaan dan sumbangan paling tinggi di mana lebih 19,000 kakitangan UOB, keluarga mereka, pelanggan dan rakan kongsi perniagaan telah mengambil bahagian.

Lebih S$1.58 juta (RM4.81 juta) juga berjaya dikumpul untuk 15 pertubuhan amal di rantau ini.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini