Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan bahawa ia telah mendaftarkan tiga Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (Recognized Market Operator atau RMO) untuk menubuh dan mengendalikan bursa aset digital (DAX) di Malaysia.
TIGA pengendali DAX berdaftar tersebut adalah: Luno Malaysia Sdn Bhd, SINEGY Technologies (M) Sdn Bhd, Tokenize Technology (M) Sdn Bhd. SC telah memberi
tempoh kepada pengendali baharu sehingga sembilan bulan untuk memenuhi sepenuhnya semua keperluan kawal selia.
Pengumuman tersebut berikutan Perintah Pasaran Saham dan Perkhidmatan (Preskripsi Saham) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 (Capital Markets and Services (Prescription of Securities) (Digital Currency and Digital Token) Order 2019) pada 15 Januari 2019, dan terbitan berikutnya Garis Panduan Pasaran yang Diiktiraf (Guidelines on Recognized Markets) yang disemak semula pada 31 Januari 2019 untuk memperkenalkan keperluan baharu untuk pengendali DAX.
Pengendali DAX yang belum diluluskan oleh SC dikehendaki menghentikan semua aktiviti dengan serta-merta dan mengembalikan semua wang dan aset yang dikumpul daripada pelabur.
Mengendalikan DAX tanpa kebenaran daripada SC adalah suatu kesalahan di bawah undang-undang sekuriti dan seseorang yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.
Pada masa yang sama, SC juga menasihati orang ramai agar mengambil kira risiko yang berkaitan dengan dagangan dalam aset digital, termasuk risiko dagangan bursa yang tidak berdaftar dengan SC.
Orang ramai boleh mengesahkan jika pengendali aset digital didaftarkan dengan SC di https://www.sc.com.my/development/digital/digitalassets