Petron Malaysia, dengan kerjasama pertubuhan bank makanan bukan kerajaan, Food Aid Foundation (FAF), menyedia dan mengagihkan 500 bungkus makanan kepada penjaga dan kakitangan di Hospital Ampang baru-baru ini.

INISIATIF ‘Projek Sahur VIA Petron’ kini telah masuk tahun ketiga dan melibatkan 60 sukarelawan dari Volunteerism In Action (VIA) Petron yang meluangkan masa mereka bagi menyediakan, memasak, membungkus dan mengedarkan makanan kepada penjaga dan kakitangan yang bertugas di hospital tersebut.

“Projek Sahur VIA Petron dibangunkan dengan tujuan memudahkan penjaga yang bermalam di hospital demi menjaga orang yang tersayang. Kami faham bahawa ianya agak mencabar untuk mencari restoran berdekatan yang menyediakan makanan asas tetapi berkhasiat.

“Projek ini mungkin dapat mengurangkan kerumitan mereka untuk keluar dari kawasan hospital untuk mencari makanan sahur. Projek ini juga memberi peluang bagi pekerja Petron untuk membuat kerja amal terutamanya dalam bulan Ramadan,” kata Zaimi Harun, Ketua Hal Ehwal Korporat, Petron Malaysia.

Projek Sahur VIA Petron bertujuan untuk meringankan beban keluarga pada bulan Ramadan. Para sukarelawan sebelum ini telah berjaya mengedarkan 400 bungkus makanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada tahun 2017 dan 500 bungkus di Hospital Selayang pada tahun 2018.

“Ini merupakan tahun ke-3 kami bekerjasama dengan Petron Malaysia untuk Projek Sahur VIA Petron. Program ini berbeza kerana sukarelawan perlu menyediakan makanan dari mula, membungkus dan mengagihkan makanan kepada penjaga dan kakitangan yang berada di hospital.

Pengagihan makanan sahur di hospital mungkin jarang sekali difikirkan kerana kebanyakan penjaga dan kakitangan hospital biasanya tidak mempunyai akses kepada kafeteria pada waktu malam,” kata Hayati Ismail, Pengarah Operasi Food Aid Foundation.

Sehingga kini, sejumlah 1,400 bungkus makanan telah diedarkan oleh Petron Malaysia dengan kerjasama Food Aid Foundation. Secara keseluruhannya, lebih daripada 110 pekerja Petron telah menjadi sukarelawan program ini, dan Petron tidak merancang untuk menghentikan inisiatif ini dalam masa yang terdekat.

Menurut Zaimi, “Sukarelawan kami yang telah menjayakan projek ini. Kerjasama kami bersama Food Aid Foundation membolehkan pekerja kami untuk bergotong-royong di dapur mereka yang serba lengkap bagi menyedia, memasak dan kemudiannya membungkus makanan yang baru disediakan.

“Kami berharap dapat meneruskan kerjasama ini dengan FAF dan pertubuhan bukan kerajaan lain dalam usaha untuk memberi balik kepada komuniti.” Bersama dengan chef dan sukarelawan dari FAF, sukarelawan Petron bekerja dalam tiga kumpulan utama di dapur FAF yang terletak di Cheras bagi menyedia, membungkus dan mengagihkan makanan tersebut.

Menu yang dipilih untuk projek tahun ini ialah nasi putih yang disajikan dengan stew ayam dan sayuran, bersama sebotol air mineral.

Tahun ini, VIA Petron dan FAF bertekad untuk mengurangkan penggunaan plastik dalam pembungkusan barangan makanan untuk Projek Sahur. Bekas plastik dan peralatan makan serta beg plastik tidak digunakan dalam usaha untuk mengurangkan sisa plastik.

“Saya telah menjadi sukarelawan selama tiga tahun berturut-turut untuk Projek Sahur VIA Petron ini. Semuanya memberikan pengalaman yang menarik dan tidak dapat dilupakan bagi saya. Saya menikmati aktiviti di dapur dan saya teruja kerana kami telah memutuskan untuk meminimumkan penggunaan barangan plastik pada tahun ini. Perubahan kecil boleh membawa kepada perubahan yang besar,” kata Ahmad Zaidi Shuhaimi, salah seorang sukarelawan Petron.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini