Menyambut ketibaan bulan Syawal dengan semangat prihatin dan berkongsi, Takaful Malaysia meneruskan usaha menyemarakkan keceriaan kepada golongan kurang bernasib baik.

SERAMAI 30 anak-anak dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad telah melalui pengalaman yang menerujakan serta tidak dapat dilupakan sewaktu program membeli-belah yang dianjurkan syarikat di AEON Bandar Utama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Dato’ Sri Mohamed Hassan Kamil berkata, “Program ini merupakan salah satu platform bagi Takaful Malaysia untuk menjangkau masyarakat, khususnya kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Komitmen kami terhadap program CSR sentiasa menjadi sebahagian daripada budaya korporat syarikat. Ia adalah tanggungjawab kami untuk menghulurkan bantuan di mana perlu dan sentiasa mengingati mereka yang kurang bernasib baik untuk menyambut perayaan dengan sempurna melalui aktiviti yang dianjurkan seperti ini.

Kami amat berbesar hati kerana berpeluang menganjurkan program ini untuk tahun kesembilan. Program ini bertujuan untuk membuktikan kepada anak-anak ini bahawa mereka sentiasa tidak dilupakan kerana kami mahu mengeratkan hubungan kami dengan masyarakat.”

Hassan Kamil berkata, pihaknya menyedari bahawa mungkin sukar untuk memenuhi kekosongan emosional anak-anak ini terutama semasa musim perayaan; namun melalui inisiatif CSR ini kami berharap dapat mengembalikan senyuman di wajah mereka.

Semua ini adalah untuk memberi anak-anak tersebut peluang untuk menyelami pengalaman kemeriahan persiapan Syawal yang bakal tiba dan bukan hanya memberikan bantuan kewangan. Selain daripada perbelanjaan membeli-belah, pengurusan kanan Takaful Malaysia juga turut menyampaikan duit raya kepada anak-anak Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad.”

Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad adalah rumah kebajikan yang ditubuhkan pada bulan Jun 2013 yang menyediakan perlindungan dan bimbingan kepada anak-anak yang memerlukan terutamanya anak-anak yatim. Terdapat dua buah rumah yang terletak di Kota Damansara yang menempatkan tiga puluh (30) anak yatim berumur dari satu (1) tahun hingga dua belas (12) tahun.

Selain daripada aktiviti membeli-belah Raya, Dato’ Sri Hassan Kamil, yang turut serta di dalam majlis ini menyampaikan replika cek berjumlah RM5,000 kepada Pengurus Rumah Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Ustaz Muhammad Hussin Mohamed.

Ustaz Muhammad Hussin berkata, “Sebagai penjaga kepada anak-anak ini, kami sentiasa berusaha untuk menyediakan keperluan asas yang mencukupi kepada mereka walaupun bekalan sentiasa berkurangan.

“Kami amat berterima kasih kepada Takaful Malaysia kerana memberikan keceriaan dan peluang kepada anak-anak Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad untuk menyambut Syawal dengan penuh kebahagiaan. Sumbangan yang diberikan ini sangat membantu dan menyentuh hati saya apabila melihat kegembiraan dan keseronokan pada wajah anak-anak ini,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini