Tealive tiba di Eropah dengan outlet pertama di UK iaitu di Manchester dan London sebagai cawangan pertama

PAKAR perkhidmatan makanan dan minuman layanan segera premium Malaysia Loob Holding Sdn Bhd kini melebarkan sayapnya ke Eropah dengan pembukaan kedai Tealive di United Kingdom yang sudah mula beroperasi baru-baru ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Bryan Loo berkata pencapaian ini telah lama dinanti-nantikan sejak jenama Tealive dilahirkan di Malaysia dua tahun yang lalu.

“Mungkin ramai menganggapnya sebagai satu pencapaian yang kecil tetapi bagi kami,
pencapaian ini adalah suatu kejayaan yang besar, lebih-lebih lagi untuk sebuah jenama dari Malaysia yang kini telah berjaya menembusi pasaran Eropah.

“Sejak kelahiran Tealive, kami berazam untuk membudayakan teh moden ke seluruh pelusuk Malaysia dan juga ke serata dunia.

“Kami juga menerima sokongan daripada ribuan pelanggan Tealive ketika meluaskan
perniagaan kami ke China, Vietnam dan Australia. Menerusi pengalaman yang diperolehi
semasa pembukaan kedai Tealive di Australia, kami telah menjadikannya sebagai pedoman
untuk memasuki pasaran United Kingdom,” katanya.

Pembukaan outlet Tealive di kota Manchester telah disambut meriah dengan pelanggan
berpusu-pusu untuk mendapatkan serta menikmati keenakan rasa pelbagai jenis teh yang
diadun dengan tekun dan teliti oleh barisan “tearista” Tealive.

Di antara perisa-perisa signatur Tealive yang menarik minat pelanggan di Manchester ialah
Teh Susu Pearl perisa Karamel, Matcha Latte Kacang Merah dan rangkaian Teh Ais Buah
Segar yang dihidang bersama pulpa buah-buahan.

Loo berkata, syarikatnya amat bertuah kerana mempunyai rakan kongsi tempatan terbaik di kesemua pasaran antarabangsa mereka dan di United Kingdom, mereka telah menjalinkan usahasama bersama Legend Ventures Ltd.

Ketua Pegawai Eksekutif Legend Ventures Samuel Chin berkata, syarikatnya telah mula
merancang untuk membuka kedai Tealive yang kedua di kota London pada tahun ini dan
dijangka membuka sejumlah lima kedai Tealive dalam tahun operasi pertama.

Ibu pejabat Legend Ventures yang berpangkalan di London merupakan pusat sehenti bagi semua urusan perniagaan Tealive di rantau Eropah.

“Kami berbesar hati kerana dapat menjalinkan usahasama bersama Loob Holding Sdn Bhd di United Kingdom kerana seperti yang kita sedia maklum, Loob Holding adalah pelopor
kepada budaya teh moden di rantau Asia Tenggara.

“Justeru itu, kami berharap agar usahasama yang terjalin ini akan menjadi batu loncatan kepada peluasan jenama Tealive di Eropah,” kata Chin.

“Dengan pemahaman selok-belok perniagaan di rantau Barat yang mendalam, kami juga
berharap untuk menjadikan perniagaan kami sebagai laluan masuk bagi jenama Tealive
untuk memperluaskan jejaknya di pasaran Eropah,” katanya.

Tealive mempunyai lebih daripada 250 kedai di Malaysia dengan 3 juta penggemar setiap
bulan. Dengan sasaran pembukaan sebanyak 1000 buah outlet di 15 buah negara merentasi empat benua, Tealive beriltizam untuk menjadi sebuah jenama teh gaya hidup bertaraf global dalam tempoh dua ke tiga tahun.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini