PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) telah menyumbang kepada 354 orang anak yatim dan fakir miskin di 6 buah rumah kebajikan terpilih bersempena dengan program Kembara Ramadan PREC 2019 dengan penglibatan hampir kesemua kakitangan PREC dan anak syarikatnya Park Here Sdn Bhd (PHSB).
KETUA Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, program ini adalah antara salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat PREC untuk memberi semula kepada masyarakat dengan menggunapakai wang zakat yang telah diperuntukkan untuk tahun ini.
“PREC sentiasa komited dalam menyalurkan sumbangan kepada rumah-rumah dan badan-badan kebajikan terpilih setelah menilai dan melakukan lawatan berdasarkan khidmat nasihat daripada pihak Lembaga Zakat Selangor dan kami melihat keperluan dalam membesarkan anak-anak bermula dari rumah dan juga di sekolah ini memerlukan kos yang banyak,” katanya.
Antara rumah yang bakal dikunjungi adalah Rumah Amal Limpahan Kasih, Maahad Tahfiz Al Ulum Wal Ghazaly, Pusat Jagaan Nur Sakinah, Rumah Kebajikan Al-Firdaus, Pusat Jagaan Budi Bistari dan Pertubuhan Kebajikan Baitul Islah.
Kakitangan PREC dan PHSB berpeluang mempereratkan ukhuwah bersama anak-anak tersebut dengan aktiviti seperti sesi bersama maskot, ahli silap mata, badut, kuiz dan origami kreatif.
Sumbangan turut diberikan dalam bentuk wang tunai sebagai duit raya kepada anak-anak dan guru, barangan elektrik seperti mesin basuh, peti ais, tilam, cadar, barang dapur, pakaian, dan dapur masak.
Majlis pelepasan dilaksanakan oleh Ketua Ahli Jawatankuasa Kerja PREC merangkap Pengurus Kanan Teknologi Maklumat PKNS, Saharom Mohni di SACC Mall Shah Alam.