Pengeluar motosikal premium dari Jerman memperkukuhkan portfolio produk bagi segmen motosikal pengembaraan, penjelajahan dan skuter urban menerusi model BMW F 750 GS, BMW R 1250 RT, BMW C 400 X dan BMW C 400 GT terbaharu.
BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan motosikal premium iaitu skuter urban BMW C 400 X dan BMW C 400 GT daripada segmen Mobiliti Urban serta jentera ‘enduro’ serba boleh, BMW F 750 GS terbaharu dan jentera penjelajah dinamik, BMW R 1250 RT yang terbaharu.
Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Kami telah mendemonstrasikan kepakaran kami dalam aspek kebolehpercayaan, inovasi alaf baharu, kejuruteraan yang cemerlang, reka bentuk penular trend serta kaedah pembuatan yang bertanggungjawab dengan portfolio motosikal premium kami daripada BMW Motorrad.
BMW Motorrad telah mencatat pencapaian yang mantap saban tahun, lebih daripada 1,000 motosikal berjaya diserahkan kepada pemilik baharu pada 2018, melakar pertumbuhan sebanyak 7% berbanding tahun sebelumnya.
Owen Riley, Ketua Unit BMW Motorrad Malaysia berkata, “Sejak lebih dari 35 tahun, model GS dan RT telah melambangkan kenikmatan tunggangan serba premium bagi sesi jelajah yang panjang, mahupun perjalanan santai yang pendek, ditujah ke hadapan dengan adrenalin berkuasa tinggi.
Membuat penampilan sulungnya di Malaysia, BMW F 750 GS dan BMW R 1250 RT terbaharu didatangkan dengan enjin canggih yang disempurnakan untuk mencapai tahap kuasa dan tork yang lebih tinggi demi pengalaman tunggangan yang luar biasa.
Begitu juga dengan BMW C 400 X dan BMW C 400 GT yang dilengkapi dengan enjin versi baharu untuk tahap mobiliti yang lebih pantas bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan bandar.

BMW C 400 X
BMW C 400 X terbaharu merupakan sebuah skuter bersaiz sederhana yang dapat mengharungi cabaran mobiliti di kawasan bandar dengan mudah. Reka bentuknya bercirikan keringanan dan mudah alih.
Komponen trim berbentuk V memberikannya keterampilan serba dinamik apabila dilihat dari seksyen hadapan – sebuah siluet yang menonjolkan kehebatan BMW C 400 X dalam laluan yang sempit dan kesesakan lalu lintas yang padat.
Tambahan lagi, BMW C 400 X juga menampilkan aspek kemantapan dan semangat kejituan GS: proporsi vertikal, tetapan madgad (mudguard) hadapan, komponen trim berwarna yang jelas dan terdiri daripada grafik pembahagi, serta lampu hadapan LED asimetrik yang besar dengan pilihan reka bentuk pencahayaan waktu siang yang tersendiri untuk jentera ini.
Namun, reka bentuk ini bukan sahaja menonjolkan kesegakan urbannya, malah turut membawakan elemen perlindungan angin dan cuaca. Konsep ruang penyimpanan yang pintar pula meliputi dua kompartmen penyimpanan yang bersepadu serta ‘Flexcase’ di bawah tempat duduk tunggal yang selesa untuk kemudahan tambahan sewaktu perjalanan.

BMW C 400 GT
BMW C 400 GT baharu pula merupakan pencetus segmen skuter ‘maxi’. Sebagai varian Gran Turismo bagi BMW C 400 X, skuter bersaiz sederhana ini dipersiapkan untuk keselesaan dan keupayaan penjelajahan yang diperkayakan. Samada anda menyusuri pusat bandar, menuju ke tempat kerja, atau bersiar pada hujung minggu –BMW C 400 GT merupakan pasangan sempurna yang dapat melengkapi perjalanan.
Juga didatangkan dengan teknologi pencahayaan LED, BMW C 400 GT terbaharu dapat dicam dengan mudah menerusi reka bentuk lampu hadapan LED berkembar yang bercirikan aerodinamik. Tempat duduk yang ergonomik pula menjamin keselesaan serta kedudukan yang sempurna – samada untuk perjalanan pendek, mahupun panjang.
BMW C 400 GT terdiri daripada penyandar yang berasingan sementara penunggang dan penumpang dapat meletakkan kaki mereka di atas platform meletak kaki yang diintegrasikan pada badan skuter dinamik ini. BMW C 400 GT terbaharu juga menawarkan perlindungan angin dan cuaca yang diperkayakan dengan perisai angin yang bersaiz lebih tinggi berbanding BMW C 400 X untuk memenuhi keperluan tunggangan harian serta penjelajahan.
Kedua-dua model Mobiliti Urban ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal yang mengoptimumkan keefisienan dengan kapasiti berjumlah 350 cc digabungkan dengan Transmisi Pembolehubah Berterusan (Continuously Variable Transmission), pengasingan getaran dan Kawalan Stabiliti Automatik (Automatic Stability Control)
sebagai penawaran standard.
Enjin yang dioptimumkan tersebut juga dapat menjana output sebanyak 34 kk (25 kW) pada tahap 7,500 rpm dan puncak tork berjumlah 35 Nm pada tahap 6,000 rpm. Model-model ini menggunakan transmisi kuasa menerusi kotak gear Transmisi Pembolehubah Berterusan (CVT) termasuk lengan ayun drivetrain kilasan (torsional drivetrain swing arm) dengan kadar getaran yang minimum.
Keselamatan juga dijamin sewaktu memecut dengan Kawalan Stabiliti Automatik (ASC), sistem kawalan antigelincir yang mengehadkan tork pacuan enjin yang dijana mengikut kondisi permukaan jalan raya. Di samping itu, suspensi dan redaman dikendalikan oleh cabang teleskopik di bahagian hadapan dan dua sangga spring di belakang.
Ia juga dilengkapi dengan keupayaan pembrekan yang cemerlang menerusi kehadiran brek cakera berkembar di seksyen hadapan digandingkan dengan brek cakera tunggal di belakang dan disertakan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) sebagai standard.
Di samping ‘BMW Motorrad Multi-Controller’ yang canggih menawarkan operasi bersepadu, ia juga membolehkan penunggang mengakses fungsi kenderaan dan keterhubungan.
Selain kemudahan untuk menggunakan telefon dan mendengar muzik ketika menunggang, pemilik juga dapat menikmati fungsi navigasi yang mudah berpaksikan anak panah, ia boleh didapati menerusi aplikasi, ‘BMW Motorrad Connected App’.
Barisan skuter Mobiliti Urban terbaharu ini juga didatangkan dengan akses tunggangan tanpa kunci (Keyless Ride) yang canggih menyaksikan pengunci stereng, pencucuh, flap pengisi bahan bakar serta peranti antikecurian diaktifkan menerusi transponder bersepadu pada kunci kenderaan tersebut.
BMW C 400 GT yang terbaharu ditawarkan menerusi tiga warna – versi bukan metalik seperti putih (Alpine White) dan kelabu (Moonwalk Grey); serta versi metalik, hitam (Black Storm). BMW C 400 X juga boleh dapati menerusi tiga warna – versi metalik, biru (Zenith Blue) dan hitam (Black Storm); serta bukan metalik, putih (Alpine White).

BMW R 1250 RT
Sejak lebih dari 35 tahun, enjin ‘boxer’ dalam model GS dan RT telah menjadi daya pendorong yang tersendiri, berkuasa tinggi dan boleh dipercayai apabila ia melibatkan perjalanan yang panjang – ataupun untuk perjalanan pendek yang santai.
Dengan enjin ‘boxer’ canggih yang dimantapkan, BMW R 1250 RT dapat menjana tahap kuasa (136 kk) dan tork (143 Nm) baharu rentetan daripada peningkatan kapasiti dari 1,170 cc ke 1,254 cc. Penambahbaikan dan pemanduan lancar yang optimum juga diterapkan secara signifikan – terutamanya dalam julat kelajuan enjin yang rendah.
Enjin baharu ini juga menawarkan tahap emisi serta penggunaan bahan bakar yang lebih baik dan profil bunyi yang lebih memuaskan.
Atas tujuan ini, ‘BMW ShiftCam Technology’ telah digunakan buat julung kali dalam produksi bersiri bagi enjin BMW Motorrad: ia membolehkan variasi bagi pemasaan injap serta lejang injap dibuat menerusi bahagian salur masuk.
Tambahan lagi, aci sesondol salur masuk (intake camshafts) direka suai untuk pembukaan asinkroni bagi kedua-dua injap salur masuk tersebut, lantas menzahirkan pusaran yang lebih baik dan pembakaran yang lebih efektif. Perubahan teknikal yang lain ke atas enjin berkenaan berkait dengan pacuan aci sesondol – kini dilengkapi dengan rantai bergigi (sebelum ini terdiri daripada rantai bertorak) – pembekalan minyak yang optimum, injap injeksi jet serta sistem ekzos baharu.
Dari segi inovasi untuk Keselamatan Tunggangan, Kawalan Stabiliti Automatik (ASC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Pro dan Kawalan Permulaan Curam (Hill Start Control) –yang memudahkan pemberhentian dan permulaan tunggangan di atas cenuram – ia ditawarkan secara standard bagi BMW R 1250 RT untuk diadaptasikan mengikut keinginan penunggang.
Sementara itu, Mod Tunggangan Pro (Riding Modes Pro) yang meliputi mod Dinamik, Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control), Kawalan Permulaan Curam Pro (Hill Start Control Pro) dan Bantuan Brek Dinamik (Dynamic Brake Assistant) merupakan tawaran baharu bagi jentera penjelajah premium
baharu ini.
Kegunaan Kawalan Permulaan Curam Pro juga boleh diperibadikan, contohnya brek parkir dapat dihidupkan secara automatik semasa mendaki apabila tuil brek tangan atau kaki diaktifkan, sejurus motosikal tersebut berhenti.
BMW R 1250 RT yang baharu juga menawarkan Penyesuaian Suspensi Elektronik Dinamik (Dynamic Electronic Suspension Adjustment) “Generasi Baharu”, sebuah suspensi elektronik yang membolehkan adaptasi penalaan terperinci bagi motosikal tersebut dibuat untuk pelbagai kondisi tunggangan, lantas mengecapi tahap redaman yang optimum dan tindak balas tunggangan yang amat stabil.
Pakej pengindividuan yang berbeza juga boleh didapati untuk BMW R 1250 RT terbaharu, ia merangkumi pakej Keselesaan (Comfort), pakej Jelajah (Touring), pakej Dinamik (Dynamic), dan pakej Cahaya (Lights), setiap satu daripadanya sesuai untuk jarak perjalanan yang panjang, kenikmatan tunggangan yang diperkayakan,
pengembaraan yang lasak, atau iluminasi yang lebih mengagumkan.
R 1250 RT terbaharu mengungkapkan karakter penjelajahan eksklusifnya menerusi tiga warna – Gaya Sport dalam warna merah dinamik (Mars Red), Gaya Elegan dalam warna hitam (Carbon Black), serta varian klasik dalam warna putih (Alpine White) untuk keterampilan abadi.

BMW F 750 GS
BMW F 750 GS dirumus untuk semua penunggang yang menggemarkan sensasi dan reka bentuk konseptual ‘enduro’ jelajah dengan kombinasi paras tempat duduk yang rendah, ketersediaan kuasa yang tinggi, dan kualiti keseluruhan yang hebat.
Dari seksyen belakang yang langsing, hingga ke tangki hadapan yang menonjol berhampiran dengan madgad bersinonim dengan jentera GS, elemen reka bentuk BMW F 750 GS mendemonstrasikan penggayaan yang jelas: motosikal ini memiliki DNA jentera GS.
Tersendiri dan original dengan ‘flyline’ signaturnya. Dari sudut hadapan, lampu hadapan versi terkini kelihatan terserlah – ikon pencahayaan yang sebenar. Penutup radiator bersepuh dengan penggayaan eksklusif menyoroti kualiti yang bertaraf tinggi bagi jentera serba boleh ini dan melambangkan semangat jentera GS.
BMW F 750 GS baharu dilengkapi dengan enjin sebaris 2 silinder berkuasa tinggi yang dijuruterai semula, serta dua aci pengimbang balas yang dapat menyerap getaran yang tidak diinginkan. Ia juga mempunyai interval pencucuhan berjumlah 270/450 darjah untuk menzahirkan profil bunyi yang lebih emotif.
Dengan penyesaran berjumlah 853 cc dan output kuasa setinggi 77 kk (57 kW) pada tahap 7,500 rpm, jentera BMW F 750 GS terbaharu tampil lebih gah berbanding model terdahulu.
Klac penggalak kendiri dan bercirikan antilonjak yang ditetapkan pada BMW F 750 GS memberikan tahap pengurangan daya yang ketara apabila klac tangan dioperasikan sementara tork seretan ‘drop-in’ meningkatkan ciri keselamatan di atas jalan raya.
Transmisi kuasa ke arah tayar belakang dijana oleh kotak gear 6 kelajuan dengan pacuan sekunder yang kini terletak di sebelah kiri.
Mod tunggangan bagi BMW F 750 GS terbaharu meliputi mod ‘Jalan Raya’ (Road) dan ‘Hujan’ (Rain) yang memenuhi keperluan individual penunggang. Dalam mod ‘Hujan’, maklum balas pendikit dikonfigurasikan untuk menjadi lebih halus sementara ciri-ciri kawalan bagi Kawalan Stabiliti Automatik (ASC) atau Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) dan Sistem Pembrekan Automatik (ABS) berfungsi berpandukan permukaan
jalan raya yang licin.
Tambahan lagi, kombinasi ABS dan ASC turut menjamin tahap keselamatan yang tinggi bagi penunggang.
BMW F 750 GS yang baharu dilengkapi dengan kluster instrumen yang terkini dengan keupayaan keterhubungan (Connectivity), dan terdiri daripada skrin TFT 6.5 inci berwarna.
BMW F 750 GS terbaharu ditawarkan menerusi kemasan warna berikut – kuning metalik (Austin Yellow Metallic), kelabu metalik (Style Exclusive Stereo Metallic Matt), atau putih (Light White).
Servis Pembiayaan
Dengan Pelan Pembiayaan daripada BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW C 400 X terbaharu bermula daripada RM550.00 setiap bulan, BMW C 400 GT terbaharu bermula daripada RM 600.00 setiap bulan, BMW F 750 GS terbaharu bermula daripada RM870.00 setiap bulan, dan BMW R 1250 RT terbaharu bermula daripada RM 1,700.00 setiap bulan.
Kesemua angka ini berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh 4 tahun. Harga jualan (di atas jalan, tanpa insurans, dan dengan Waranti Terbaharu Bertempoh 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia) motosikal BMW Motorrad dinamik yang terbaharu ialah:
Harga jualan tanpa insurans
- BMW C 400 X : RM 44,500.00
- BMW C 400 GT : RM 48,500.00
- BMW F 750 GS : RM 71,500.00
- BMW R 1250 RT : RM 139,500.00