RedCargo Logistics, platform kargo dan logistik AirAsia, menandatangani perjanjian antara penerbangan bersama Oman Air.
PERJANJIAN baharu itu akan memberi pelanggan RedCargo akses kepada ruang kargo dalam rangkaian pengangkutan dan kargo Oman Air termasuk Afrika, UK dan Eropah.

Pelanggan Omar Air pula boleh menempah ruang kargo di rangkaian luas AirAsia yang mempunyai lebih 5,000 penerbangan mingguan di seluruh Asia Tenggara, termasuk di destinasi utama Oman Air seperti Kuala Lumpur, Bangkok, Manila dan Jakarta.
Ketua Pegawai Eksekutif RedCargo, Pete Chareonwongsak berkata, “RedCargo mengalu-alukan Oman Air ke dalam keluarga RedCargo.
Ini adalah contoh yang baik bagaimana dua syarikat penerbangan boleh bekerjasama untuk memaksimumkan pertumbuhan e-dagang di rantau ini. Keupayaan untuk membawa kargo dari Asean ke Afrika, UK dan Eropah akan menjadi lebih mudah dengan kerjasama ini. Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Oman Air untuk mengembangkan perniagaan kargo masing-masing.”
Naib Presiden Kargo Komersial Oman Air, Mohammed Al Musafir berkata, “Kami amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan RedCargo, anak syarikat milik penuh Kumpulan AirAsia.
Dengan kerjasama ini, kami yakin dapat menawarkan pelanggan kami dengan pelbagai pilihan destinasi di rantau Timur Tengah dipacu rangkaian penerbangan yang meluas di luar rangkaian Oman Air. Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan RedCargo menerusi perkongsian antara penerbangan ini.”



































