Sebut sahaja nama Sapura, masyarakat umum, pelabur, syarikat di Malaysia dan dunia secara automatik akan mengaitkannya dengan sektor minyak dan gas.
MEMANG tepat, ini kerana firma Sapura Energy Berhad adalah salah satu syarikat perintis dalam sektor berkenaan dan firma itu sudah melonjakkan jenama Malaysia ke serata dunia.

Kesemua ini adalah hasil usaha Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Shahril Shamsuddin yang berjaya menerajui ‘jiwa dan hati’ dengan melonjakkan jenama Sapura ke peringkat global.
“Terima kasih kepada Shahril dan Sapura, nama Malaysia kini terukir dan menjadi jenama antarabangsa di lebih 20 negara.
“Terima kasih juga kepada Shahril, firma Sapura dan Malaysia kini menjadi jenama global,” kata seorang penganalisis di Permodalan Nasional Berhad.
Shahril, 57, bukannya nama asing dalam sektor minyak dan gas selepas menerajui Sapura yang ditubuhkan oleh bapanya yang juga Pengerusi Sapura, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir pada 1975.
Nama Shahril sudah cukup dikenali dan sinonim dengan keazamannya dan kepakaran dalam menguruskan syarikat mengikut standard industri.

Cucu kepada seorang pemandu bas, Shahril berjaya membuktikan kekuatannya dalam dunia korporat yang tiada bandingan dan Sapura menjadi rujukan kepada mana-mana syarikat pemula yang mahu menceburi perniagaan minyak dan gas.
Hari ini, Sapura, yang dinamakan sempena nama arwah ibunya, Puan Sri Siti Sapura Husin mempunyai kehadiran di lebih 20 negara seluruh dunia dan mengaji lebih 10,000 kakitangan membabitkan lebih 35 kewarganegaraan.
Daya tahan Shahril dalam membina syarikat mendapat pujian dan berada dalam kedudukan kedua selepas Petronas dengan mempunyai senarai tempahan buku bernilai RM17.2 bilion setakat ini.
Manakala di Bursa Malaysia, saham Sapura sentiasa berada dalam senarai kedudukan kaunter untung dan aktif yang sering menarik pelabur kepada saham berkenaan.

Kebijaksanaan Shahril terserlah sejak lewat tahun lalu apabila keadaan semasa yang menyaksikan firma minyak dan gas menutup kedai, namun Sapura berjaya mengharungi cabaran itu dengan mengurangkan hutang serta berjaya meraih RM8 bilion menerusi dua penyusunan korporat menggabungkan penyusunan tunai membabitkan Permodalan Nasional Berhad dan kerjasama dengan Austria OMV AG.
Shahril berjaya mendepani segala cabaran dan Sapura kini bakal muncul sebagai firma utama dan eksplorasi dan pengeluaran, kejuruteraan dan pembinaan serta segmen penggerudian.
Shahril dan Sapura berjaya melonjak nama Malaysia sebagai jenama global dan mereka akan terus memacu negara ke peringkat lebih tinggi demi bangsa dan negara.