MGB melabur RM40 juta untuk mengembangkan Sistem Binaan Berindustri dengan loji baru
MGB Berhad, anak syarikat LBS Bina Group Berhad, baru-baru ini merasmikan kilang konkrit pra-tuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang pertama di Nilai, Negeri Sembilan.
Membabitkan pelaburan sebanyak RM40 juta dan kawasan binaan seluas tujuh ekar, kilang ini akan menghasilkan, memasarkan, menjual dan memasang pelbagai komponen IBS seperti panel konkrit pra-tuang, panel dinding konkrit, papak (slab) konkrit, lajur (column) dan rasuk (beam).
Upacara pembukaan kilang di Nilai itu telah dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Pada Mei 2018, MGB telah melancarkan kilang IBS bergerak yang pertama di perbandaran LBS Alam Perdana dengan kapasiti untuk menghasilkan 2,000 unit hartanah setiap tahun dan berjaya menghasilkan serta membekalkan kepada projek sulung ini, 673 unit rumah teres dua tingkat di Alam Perdana dalam jangka masa yang singkat sejak permulaan operasi.
Dengan IBS, projek sulung tersebut dapat disiapkan dalam tempoh 12 bulan berbanding 18 bulan, menjimatkan 33% masa pembinaan.
IBS juga berjaya mengurangkan kebergantungan kepada buruh manual sebanyak 31% seterusnya mencapai pengurangan sebanyak 49% jumlah kos buruh di tapak. Gabungan kedua-dua kilang tersbut membolehkan syarikat menghasilkan 4,000 unit hartanah setiap tahun.
Pengarah Urusan Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Lim Hock San berkata, pelaburan RM40 juta ini mencerminkan komitmen syarikat untuk terus berkembang dalam pasaran IBS tempatan.
Beliau berkata, melihat kepada sokongan serta promosi berterusan untuk mendorong adaptasi IBS dalam projek awam dan swasta, pasaran IBS mengambarkan pertumbuhan kukuh pada tahun yang mendatang.
Tambahan, IBS semakin diiktiraf sebagai kaedah yang dipercayai untuk meningkatkan kualiti produk dan mengurangan tempoh masa pembinaan, kos buruh di tapak dan kebergantungan kepada buruh manual.’’
Menurut angka oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) baru-baru ini, penerimaan sektor swasta terhadap Sistem Binaan Berindustri (IBS) pada masa kini berada pada anggaran 35%, daripada sasaran tahun 2020 sebanyak 50%.
Lim berkata, kilang ini akan meneguhkan kedudukan MGB untuk memanfaatkan permintaan terhadap IBS yang diramalkan semakin meningkat.
“Kami menjangkakan permintaan terhadap komponen IBS akan meningkat kerana semakin ramai pembina berusaha mencari kaedah alternatif untuk mengurangkan kos pembinaan di kala pasaran hartanah yang lemah. Kami yakin permintaan akan terus meningkat apabila cadangan untuk membuatkan IBS mandatori menjelang tahun 2020 diluluskan dan dijalankan” katanya.
Kilang konkrit pra-tuang tersebut adalah usahasama antara MGB dengan Sany Construction Industry Development (M) Sdn Bhd, anak syarikat Sany Group Co. Ltd., yang berpangkalan di China.
“Dengan memanfaatkan kepakaran Sany dalam reka bentuk, pembuatan dan penggunaan jentera konkrit pra-pasang, kami akan mencapai kecemerlangan melalui inovasi serta jaminan kualiti produk, yang akan membolehkan para pembina dan pemaju hartanah mempercepatkan penyerahan projek mereka tanpa menjejaskan kualiti produk.
“Pada masa sama, kemudahan baru ini akan membolehkan kami memperluaskan barisan produk kami untuk menampung keperluan projek perumahan yang berlainan,” katanya.
Pada masa ini, pengeluaran dari loji baru itu tertumpu kepada projek dalaman, bermula daripada Kita @Cybersouth. Apabila kilang ini beroperasi dengan kapasiti penuh, pihaknya berharap dapat mengembangkan penawaran kepada projek perumahan kerajaan dan yang lain.