Honda Sport Hybrid i-DCD dilancarkan di negara ini pada tahun lalu kurang dari RM100,000, menjadikan kereta hibrid paling murah di Malaysia setakat ini. Baca lebih lanjut sesi pandu uji Prebiu.com dengan model ini.
SEKILAS pandang daripada segi reka bentuk luaran, tiada perbezaan ketara antara model Honda City Hybrid ini dengan model City yang dijana enjin petrol sepenuhnya cuma emblem ‘HYBRID’ pada kedua-dua fender hadapan dan bahagian kiri but belakang dengan sedikit elemen biru.
Bagaimanapun, nak tahu perbezaan yang benar-benar ketara ialah apabila butang enjinnya dihidupkan, ia sangat senyap kerana ia bermula dengan mod elektrik sepenuhnya (EV), tanpa enjin petrol dihidupkan.
Enjin petrol hanya akan mula beroperasi ketika kereta ini mula bergerak atau ketika anda mahukan lebih kuasa malah jika anda sedang memandu dalam kesesakan trafik, ia juga senyap kerana enjin petrolnya dibantu sepenuhnya oleh kuasa motor elektrik. Hebat bukan!
Sebenarnya, memandu kenderaan yang jimat bahan api amat sesuai di bandar-benar besar seperti Kuala Lumpur yang terkenal dengan kesesakan jalan raya apatah lagi ketika ini harga minyak sentiasa berubah-berubah setiap minggu.
Memandu kenderaan hibrid dianggap tidak terlalu terkesan dengan kenaikan harga bahan api petrol kerana dengan tangki penuh 40 liter, kereta itu mampu bergerak sejauh lebih 500 kilometer bergantung kepada tahap atau jenis pemanduan.
Dalam sesi pandu uji Prebiu.com ke Muar, Johor dan kemudian ke Melaka sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur dengan jarak perjalanan lebih 300 kilometer, penulis langsung tidak singgah untuk mengisi petrol.
Pemanduan di lebuh raya cukup berkuasa dan lancar meskipun kereta sedan itu dikerah pada kelajuan lebih 140 kilometer sejam dengan butang Econ dihidupkan.
Ketika meredah kesesakan bandar Muar, sistem enjinnya bertindak cekap dengan menyalurkan kuasa menerusi motor elektrik bagi membantu menjimatkan lagi bahan apinya.
Meskipun dikategorikan sebagai kenderaan cekap tenaga, anda sebenarnya boleh mengerahkan ‘kudrat’ enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC ini dengan hanya menekan butang S berhampiran gear yang akan terus mengubah karektor Honda City Hibrid ini kepada mod sport.
Apabila mod sport diaktifkan, secara automatik paparan skrin dibahagian paling kanan terus bertukar grafik. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan, kereta ini akan meluncur dengan laju menghamburkan kuasanya seakan menerima suntikan kuasa turbo.
Mahukan pemanduan lebih sporty, anda boleh bermain dengan pedal penukar gear pada stereng yang menawarkan mod penukaran gear tujuh kelajuan secara manual.
Honda City Hybrid dipadankan kotak gear klac berkembar DCT tujuh-kelajuan, dijana oleh sistem Sports Hybrid i-DCD yang menggabungkan enjin petrol 1.5 liter i-VTEC DOHC kitaran Atkinson berkuasa 110 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 134 Nm, serta motor elektrik berkuasa 30 PS/160 Nm.
Gabungan kedua-dua unit berkenaan menjadikan kuasa City Hybrid ini pada 137 PS dan tork maksima 170 Nm iaitu kuasa yang hampir setara dengan enjin petrol Civic FC 1.8L (141 PS/174 Nm).
Honda hibrid ini diberikan penampilan yang hampir sama dengan City E iaitu padanan lampu hadapan halogen, lampu nyalaan siang serta lampu belakang LED.
Ia dilengkapi rim aloi dua-tona 16-inci yang seiras dengan rim pada City V petrol dan tayar Goodyear Excellence 185/55R16.
Hanya tiga warna ditawarkan untuk model hibrid ini iaitu Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan White Orchid Pearl. Model ini turut dipasang sepenuhnya di kilang Honda Pegoh, Melaka serta layak menerima insentif EEV khas untuk kenderaan hibrid dari kerajaan.
Melangkah ke ruang dalamannya, paparan panel meter tiga dimensi (3D) sama dengan model Honda Jazz Hybrid yang pernah dipandu uji sebelum ini.
Paling ketara ialah meter kelajuan utama dibahagian tengah diapit dengan meter rpm pada sebelum kanan yang boleh ditukar dengan paparan informasi lain seperti paparan tokok minyak, status aliran tenaga (enjin petrol, cas bateri, bantuan motor elektrik kepada enjin, mahupun bergerak dengan elektrik sepenuhnya), dan lain-lain.
Pada bahagian kiri pula, paparan kedudukan gear pada bahagian atas manakala paparan informasi bateri hibrid (di cas atau sedang berfungsi mengeluarkan tenaga) dibawahnya selain paparan informasi kecil lain.
Sebagaimana ciri sebuah kereta pintar, kesemua unit Honda Hybrid generasi terkini dipadankan dengan ciri standard tombol gear (Shift By Wire) yang tampil dalam bentuk empat segi dan jauh lebih pendek dari biasa.
Jika pertama kali mengendalikan gear jenis ini mungkin agak janggal tetapi selepas dicuba beberapa kali ia sebenarnya cukup mudah dikendalikan apatah lagi nak parkir tekan sahaja butang ‘P’.
Gear rendah atau ‘L’ (Low) turut dibekalkan untuk memudahkan pemanduan semasa menaiki bukit atau ketika menuruni bukit.
Selain itu, ciri dalamannya masih sama dengan Honda City varian petrol termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, sistem infotainmen dengan paparan skrin Audio 6.8-inci, sistem pendingin hawa automatik dengan suis kawalan dan paparan digital, upholsteri tempat duduk fabrik dan tiada sebarang balutan kulit pada roda stereng mahupun tombol gear.
Disebabkan bateri sistem hybrid jenis Lithium Ion diletakkan pada lantai ruang kargo, tiada tayar gantian disediakan namun, but sedan ini masih kekal dengan kapasiti 536 liter sama seperti versi biasa.
Bagaimanapun, Honda menyediakan kit baik pulih tayar bocor yang terdiri daripada cecair untuk menahan udara dari keluar dari lubang yang bocor, dan juga pam angin elektrik yang berfungsi menggunakan soket 12V.
Disebabkan enjin petrol ini boleh dimatikan ketika dipandu dan menggunakan mod EV sepenuhnya, Honda telah menghasilkan dua komponen khas yang berbeza dari kereta petrol biasa untuk model hibrid ini iaitu pemampat pendingin hawa menggunakan motor elektrik dan juga servo brek yang juga menggunakan kuasa elektrik.
Seperti yang diketahui, pemampat konvensional digerakkan oleh enjin petrol menerusi sambungan tali sawat. Sebab itulah kereta-kereta yang menggunakan sistem ‘start-stop‘ enjin automatik, sistem pendingin hawanya akan menjadi panas ketika enjin dimatikan secara automatik.
Bagaimanapun, ini tidak berlaku pada City Hybrid kerana pemampat itu digerakkan oleh motor elektriknya sendiri sekali gus sistem pendingin hawanya sentiasa nyaman sekiranya enjin mati secara automatik.
Untuk servo brek elektrik pula, anda boleh rasakan jarak tekanan pada padel brek sangat pendek jika dibandingkan pada padel brek biasa.
Walaupun pendek, anda masih lagi mudah untuk mengagak jumlah tekanan yang diberikan tanpa membuatkan brek tersebut berasa seakan berhenti dengan mengejut. Bagi ciri keselamatan, kereta ini dilengkapi empat beg udara keselamatan iaitu dua dihadapan dan dua di sisi.
Kesimpulannya, Honda City Hybrid ini amat berbaloi dimiliki sekiranya anda sering berulang-alik ke tempat kerja yang terpaksa meredah kesesakan yang teruk setiap pagi ataupun tinggal agak jauh dari pejabat.
Selain itu, kereta yang diletakkan pada tanda harga atas jalan tanpa insurans RM92,172 ini juga sesuai kepada mereka yang mementingkan penjimatan kepada kos penggunaan bahan api tetapi memerlukan sebuah kereta sedan yang praktikal untuk seisi keluarga.