Matlamat kerajaan negeri adalah untuk menjadikan Kedah sebagai hub pelancongan sukan yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan sosio ekonomi negeri.

KEDAH berhasrat menjadi hub pelancongan sukan di wilayah utara dengan menganjurkan acara jelajah lumba basikal Red Eagle Tour 2019.

Acara lumba basikal ini akan menjadi salah satu aktiviti pelancongan sukan negeri dan ia dianjurkan bertujuan untuk memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial di Kedah.

From left; Noraidiazhar Sulaiman, Chief Executive Officer of Master Pacer Venture and Red Eagle Tour, Mohd Asmirul Anuar Aris, Kedah State Executive Councillor & Chairman of Youth and Sports Committee and Dr Mahadi Mohamad, Chief Executive Officer Menteri Besar Kedah Incorporated

Dianjurkan oleh Master Pacer Venture, perlumbaan basikal Red Eagle Tour 2019 akan bermula pada 23 hingga 27 April 2019 melibatkan 120 pelumba tempatan dan antarabangsa.

Master Pacer Venture terkenal dengan pembabitan mereka dalam perlumbaan basikal terkemuka seperti Le Tour de Langkawi, Jelajah Malaysia, Tour de Selangor dan KL State & National Cycling Rider.

Bercakap pada sidang akhbar di Alor Setar hari ini, Mohd Asmirul Anwar Aris, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Negeri Kedah berkata, matlamat kerajaan negeri adalah untuk mempromosi pelancongan sukan di Kedah terutamanya di kalangan belia.

“Harapan kami adalah untuk melahirkan lebih ramai pelumba muda amatur di Kedah serta meningkatkan kualiti sukan berbasikal di negara ini. Di samping itu, acara ini juga dapat dijadikan platform untuk mempromosikan tempat-tempat menarik di negeri ini.

Jalinan kerjasama di antara Master Pacer Venture dan Kerajaan Negeri Kedah dalam menganjurkan Red Eagle Tour 2019 juga selari dengan kempen Visit Malaysia 2020 yang dijalankan oleh kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini,” katanya.

Red Eagle Tour 2019 akan menjadi salah satu platform untuk mempromosi pembangunan sukan, budaya dan industri pelancongan ke tahap baharu serta mewujudkan peluang-peluang baharu yang akan menjadikan Kedah sebagai hub pelancongan sukan.

Penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Red Eagle Tour 2019 lazimnya memberi pelbagai manfaat kepada ekonomi dan mengembangkan lagi sektor pelancongan tempatan.

Acara sukan seperti ini bukan sahaja memberi galakan kepada orang ramai untuk mengembara bagi menyaksikan sukan tersebut malah turut memberi inspirasi kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam cabang sukan baharu.

Diharapkan Red Eagle 2019 mampu menarik minat pelancong berbasikal di Kedah selain menggalakkan lebih ramai belia untuk menyertai sukan berbasikal.

Kejohanan ini melengkapi usaha Malaysia untuk berada di kelompok 10 destinasi pelancongan utama dunia menjelang 2019 dan 2020 menyasarkan kemasukan 36 juta pelancong dengan jangkaan hasil sebanyak RM169 bilion.

Red Eagle Tour 2019 adalah acara jelajah lumba basikal lebuh raya yang terbuka kepada peserta tempatan dan antarabangsa. Ia merupakan acara pertama seumpamanya yang diadakan di Kedah.

MENGENAI RED EAGLE TOUR 2019

Majlis pra-pelancaran Red Eagle Tour 2019 akan diadakan pada 12 hingga 13 Januari dengan penganjuran acara Fun Run 7km, Fun Ride 40km dan Century Ride 160km.

Acara utama iaitu Red Eagle Tour 2019 akan diadakan bermula pada 23 hingga 27 April merangkumi jarak perlumbaan sejauh 750km.

Sebanyak 20 pasukan dengan 6 pelumba bagi setiap pasukan akan mengambil bahagian dalam perlumbaan 5 peringkat merentasi 5 daerah di Kedah.

Acara ini akan disiarkan di kaca televisyen seluruh dunia bagi memberi peluang kepada penonton untuk melihat sendiri keunikan dan keistimewaan yang terdapat di negeri Kedah.

Seramai 100,000 penonton dijangka menyaksikan perlumbaan ini menerusi liputan media elektronik, media cetak dan media sosial.

Red Eagle Tour 2019 merupakan platform untuk mengasah bakat pelumba muda, melatih dan membangunkan pelumba bertaraf amatur ke peringkat lebih tinggi, membolehkan pelumba baharu untuk menimba pengalaman bertanding dalam perlumbaan sebenar serta memasukkan acara ini ke dalam kalendar sukan Malaysia di bawah naungan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.

Pelan jangka panjang melalui penganjuran Red Eagle Tour 2019 termasuk untuk menggalakkan lebih ramai golongan belia mengambil bahagian dalam acara sukan seperti berbasikal dan pada masa sama mempromosi berbasikal sebagai sukan menyihatkan yang membawa ke arah gaya hidup sihat.

Aspirasi Red Eagle Tour 2019 ialah untuk membangunkan lebih ramai belia menjadi pelumba profesional yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Mereka yang berminat untuk mengambil bahagian dalam acara ini boleh mendaftar di www.racexasia.com. www.howei.com atau layari media sosial Red Eagle Tour.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini