Jika anda melalui jalan raya menuju ke bandar Segamat, Johor anda pasti tidak akan terlepas pandang melihat sebuah kapal terbang atau lebih khusus pesawat ringan bersaiz sebenar yang di parkir bersebelahan kedai makan ini.

APA yang unik dengan kedai makan ini ialah tarikan sebuah pesawat ringan berwarna biru dan putih yang tersergam indah seolah-olah sedang bersedia untuk berlepas ke udara.

Jika dilihat kepada peta geografi bandar Segamat ini, tiada sebarang lapangan terbang dibina  berhampiran dan agak pelik bagaimana sebuah pesawat ringan ini boleh berada di tepi jalan raya.

Bukan itu sahaja, sebaik sahaja anda melangkah masuk ke Restoran Warung Kapal Terbang ini, segala bentuk hiasan dan dekorasi di dalam kedai makan ini berkonsepkan kapal terbang.

Hiasan menu makanan dipenuhi gambar-gambar kapal terbang lama malah sebuah lukisan besar yang menampilkan tiga buah pesawat ringan yang pernah digunakan pada zaman British dahulu tergantung indah di dalam kedai makan itu.

Restoran milik AZ Empayar Unggul Enterprise ini beroperasi setiap hari kecuali Isnin bermula dari jam 4 petang hingga 12 malam menyediakan pelbagai jenis masakan panas, sate dan makanan barat.

Antara menu wajib cuba atau Kena Rasa ialah Nasi Goreng Kapal Terbang, Nasi Goreng Udang Butter dan Nasi Goreng Udang Blackpaper yang semuanya berharga RM10.

Menu pilihan lain seperti nasi goreng tomyam, pataya, cilipadi, pelbagai jenis mee atau bihun dan juga pilihan sup turut ditawarkan pada harga yang berpatutan.

Tidak ketinggalan pilihan minuman jenis sejuk atau panas disediakan untuk menghilangkan rasa haus selepas penat mengharungi perjalanan jauh.

Sebenarnya tiada halangan kepada sesiapa yang mahu mengambil gambar kenangan bersama pesawat ringan yang diparkir di sebelah Warung Kapal Terbang ini. Nak gambar lebih cantik ambillah ketika waktu siang kerana apabila tiba waktu malam gambarnya mungkin berbeza.

Apa lagi jika anda bercadang ke Segamat, Johor jangan lupa singgah sebentar ke kedai makan ini untuk melihat lebih dekat pesawat ringan yang menjadi tarikan utama di gerai ini.

Kreativiti yang ditampilkan oleh pemilik kedai makan ini boleh diberikan pujian meskipun terpaksa berbelanja lebih menempatkan sebuah pesawat ringan ini.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini