Apa yang menarik dengan model Alza yang dipertingkatkan dengan beberapa ciri baru ini. Ketahui lebih lanjut menerusi sesi pandu uji Prebiu.com dengan model Alza varian SE ini.
Perkara pertama yang menarik perhatian bukan kepada warna Elektrik Biru Alza ini tetapi ciri baharu aliran penyaman udara untuk barisan tempat duduk ketiga yang ditambah baik menerusi ciri baharu dengan tambahan corong tetap yang terletak antara ventilator tengah.
Corong pendingin hawa yang telah direka semula itu membolehkan penumpang pada baris akhir iaitu kerusi barisan ketiga menerima udara yang lebih nyaman.
Berdasarkan kepada keadaan cuaca negara ini yang beriklim Khatulistiwa tentu sekali khususnya ketika cuaca panas, pendingin hawa amat diperlukan dalam sesebuah kenderaan.
Justeru, kesempatan memandu uji model Alza baharu yang dipadankan lengkap dengan aksesori Gear Up ini, ciri tambahan yang dipadankan ini boleh dianggap satu penambahbaikan paling utama meskipun penulis sendiri mengharapkan Alza pada satu hari nanti memiliki corong pendingin hawa tambahan sebagaimana MPV lain.
Ini kerana kebanyakan MPV buatan bukan nasional yang sebaris dengan Alza memiliki corong udara tambahan sebagai sokongan kepada corong dihadapan.
Bagaimanapun, Perodua mungkin ada alasan tersendiri untuk tidak menawarkan ciri itu kerana mungkin akan meningkatkan kos atau harga kenderaan itu kelak.
Perodua yang kali terakhir melancarkan model Alza yang dipertingkatkan pada 2014 tampil dengan beberapa ciri baru seperti panel meter dan kerusi barisan ketiga yang boleh dilipat satu persatu.
Kini selepas kira-kira sembilan tahun, Perodua memilih tarikh 31 Ogos 2018 sebagai detik sejarah untuk memperkenalkan Alza 2018 menerusi model versi facelift yang hadir dengan ciri lebih segar dan menarik sesuai dengan status MPV kompak tujuh tempat duduk paling popular di Malaysia.
Daripada segi luaran, hanya model pertengahan SE dan model tertinggi Advance yang menerima perubahan pada bahagian luar. Nak nampak lebih menarik boleh memilih untuk memasang aksesori Gear Up yang ditawarkan oleh Perodua!
Kedua-dua model itu menerima gril baru dengan elemen dua bar, bampar hadapan dengan liang kemasukan lebih besar, kemasan pada lampu kabus yang telah beralih kedudukan serta sensor parkir untuk bahagian hadapan.
Bampar belakang varian SE dan Advance ini turut direka lebih sporty menampilkan kemasan diffuser palsu manakala kedudukan reflektor yang menegak kini diletakkan melintang bersama kemasan plastik hitam baru.
Selain itu, kemasan hitam yang merentangi pintu tailgate direka lebih lebar sehingga setara dengan bahagian bawah lampu selain tampil dengan jalur krom dibawahnya.
Bagaimanapun, Alza masih mengekalkan nadi kuasa yang sama iaitu enjin 1.5 liter 3SZ-VE empat silinder DVVT berkuasa 102 hp/136 Nm dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan (bagi varian Standard MT) dan transmisi automatik empat-kelajuan pada varian lain.
Melangkah ke ruang dalaman pula, Perodua telah melakukan perubahan besar pada kluster tengah papan pemuka Alza dengan rekaan sistem audio lebih baru tanpa ada slot pemain cakera padat (CD) untuk varian SE.
Model Standard dan SE diberikan sistem audio dengan fungsi USB dan Bluetooth, manakala varian Advance pula hadir dengan monitor bumbung untuk penumpang, sistem infotainmen berasaskan Android dengan skrin sesentuh bersama hubungan Bluetooth, serta fungsi sistem navigasi dan paparan kamera undur.
Papan pemuka model itu juga tampil dengan rekaan grafik baharu dengan ciri tambahan kadar purata penggunaan minyak. Kunci kawalan jauh Alza kini menampilkan butang kunci dua fungsi iaitu sekali tekan untuk membuka kunci untuk pemandu sahaja manakala dua kali tekan untuk membuka kunci kesemua pintu.
Apa yang menarik ialah kali ini butang kunci tampil dalam bentuk warna hitam berfungsi untuk membuka pintu dan butang merah untuk menutup pintu beserta dengan bunyi apabila butang ini ditekan berbanding alat kunci kawalan jauh tanpa bunyi bagi model terdahulu.
7 ciri menarik Alza
- Panel meter baharu
- Kunci kawalan jauh 2 fungsi
- Sensor untuk bamper hadapan
- Rekabentuk gril dan bampar depan baharu
- Sensor depan dan belakang (standard semua varian)
- Grafik panel instrumen dan kluster tengah direka semula
- Corong udara kekal bagi aliran penyaman udara yang terletak antara ventilator tengah
MPV kompak itu juga masih mengekalkan rekaan rim bersaiz 15-inci namun menerima kemasan akhir titanium manakala varian S masih dengan rim perak.
Perodua turut menawarkan warna badan baharu iaitu Granite Grey manakala warna lain terdiri daripada Electric Blue, Mystical Purple, Glittering Silver dan Ivory White masih lagi boleh menjadi pilihan pembeli.
Kesemua empat varian (Standard manual dan auto, SE dan Advance) didatangkan standard dengan lampu kabus hadapan, spoiler belakang, roda stereng balutan kulit, filem lapisan solar dan keselamatan tingkap. Untuk lebih sporty boleh memadankan dengan aksesori Gear Up.
Sistem keselamatan pada Alza 2018 ini juga masih kekal sama iaitu dua beg udara hadapan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak di barisan kedua selain mendapat rating 4 bintang Asean NCAP.
Perodua Alza facelift 2018 dijual pada harga bermula RM51,490 untuk model asas Standard manual dan RM54,290 automatik. Model pertengahan SE pula dijual pada harga RM56,890, manakala model tertinggi Advance dijual dengan harga RM62,690. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insurans.