Sembilan Ahli Parlimen UMNO-BN nafikan sekeras-kerasnya berita yang tersebar menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ kononnya mereka adalah antara ahli Parlimen yang bakal mengambil langkah keluar meninggalkan parti.
AHLI Parlimen yang dimaksudkan ialah Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong serta ahli Parlimen UMNO daripada Sembrong, Parit, Tasek Gelugor, Jelebu, Arau, Kinabatangan, Padang Rengas dan Jempol.
Masing-masing menafikan berita yang tersebar menerusi aplikasi ‘WhatsApp’, malahan menyifatkan itu cerita bohong dan fitnah semata-mata.

Dr Shamsul berkata, kesetiaan beliau tetap pada parti dan apa yang diviralkan tidak benar sama sekali.
Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menerusi aplikasi Whatsapp berharap orang ramai tidak mempercayai spekulasi itu, termasuk pertemuannya selama dua jam dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, kelmarin.
“Jangan percaya spekulasi di luar sana,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria pula menyifatkan ini semuanya bohong dan fitnah, malahan penyebaran menerusi medium berkenaan adalah tindakan sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh.
Menurut Mohd Nizar, beliau akan terus setia dan akan terus mendokong perjuangan parti kerana yakin dengan perjuangan UMNO untuk terus bergerak ke depan sebagai sebuah parti yang menjaga kepentingan rakyat serta negara.
“Saya tidak akan mensia-siakan undi dan kepercayaan yang diberikan oleh pengundi Barisan Nasional (BN) di Parlimen Parit pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
“Apa yang diharapkan rakyat di luar sana terutama kalangan ahli, penyokong serta pendokong parti tidak mudah mempercayai bulat-bulat perkara yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya turut menafikan dengan tegas berita yang mula tersebar menerusi media sosial kononnya beliau antara salah seorang yang tersenarai akan meninggalkan parti dan menyifatkannya sebagai berita yang tidak bertanggungjawab.
“Saya menafikan siaran ‘WhatsApp’ yang berlegar ini dari pihak yang tidak bertanggungjawab mengenai nama saya dalam senarai yang akan keluar UMNO.
“Saya tidak tahu menahu tentang perkara ini dan tetap kekal dalam perjuangan parti UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias yang dikatakan turut tersenarai di dalam mesej berkenaan menegaskan sama sekali tidak pernah merancang, bercadang, berhasrat atau memikirkan mengenai tindakan sedemikian.
“Sebagai seorang pemimpin yang lahir dan melalui perjuangan dalam kilang UMNO serta memenangi kerusi Parlimen Jelebu dalam PRU-14 atas tiket BN, maka saya tidak akan sekali-kali meninggalkan parti keramat UMNO.
“Di samping itu, saya juga berpegang teguh kepada prinsip mempertahankan parti dalam apa juga keadaan sekali pun.
“Saya tidak akan sama sekali menjadi seorang yang bacul atau dayus berpolitik dengan tindakan meninggalkan parti UMNO yang telah berjasa kepada rakyat sejak 72 tahun lalu hanya semata-mata BN tewas dalam PRU-14.
“Sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, saya optimis melihat bahawa UMNO berpeluang cerah untuk kembali menawan hati rakyat, apatah lagi di saat-saat kerajaan PH sekarang dilihat gagal membela rakyat sepenuhnya.
“Akhir sekali, saya berharap ahli-ahli UMNO di seluruh negara bertenang dan tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu yang tersebar di media sosial,” katanya.
Di KANGAR, Shahidan Kassim menyifatkan tiada keperluan untuk beliau keluar dari UMNO dan turut mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang keluar parti berkenaan.
Di SANDAKAN, Bung Moktar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah pula berkata, akan kekal setia bersama parti keramat itu.
“Selagi hayat dikandung badan, UMNO adalah wadah tempat saya berjuang,” katanya.
Mohamed Nazri Aziz pula memberitahu, adalah tidak betul sekiranya namanya dikaitkan dalam senarai 17 ahli parlimen yang berpotensi keluar UMNO itu.
“Jangan risaulah, saya takkan keluar UMNO walaupun saya tahu sebab Tok Pa (Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Anifah (Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman) berbuat demikian.
Semalam tersebar menerusi ‘WhatsApp’ kononnya mereka adalah antara ahli parlimen yang bakal mengambil langkah keluar meninggalkan parti.
Kelmarin, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapha Mohamed dan semalam Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar daripada UMNO. –Bacalah Malaysia