Petrosains Science Festival, festival sains terbesar di negara ini yang dianjurkan oleh Petrosains, The Discovery Center telah dilancar secara rasmi.
FESTIVAL itu dibuka secara rasmi oleh Pengerusi PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh di Esplanade, KLCC Park. Festival ini merupakan salah satu inisiatif utama Petrosains untuk mempopularkan pembelajaran sains melalui suatu platform yang menarik, berteraskan pendidikan dan berimpak tinggi.
Ia merupakan sebahagian daripada komitmen Petrosains untuk memupuk pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang lebih bermakna.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif, Petrosains; Datuk Hashim Wahir, Ketua Pegawai Eksekutif, KLCC Urus Harta; Zahariah Abdul Rahman, Pengerusi Lembaga Pengarah Petrosains dan Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan, PETRONAS, serta wakil-wakil dari rakan kerjasama Petrosains Science Festival 2018.
Festival ini yang diadakan setiap tahun dengan kerjasama rakan kerjasama menyediakan suatu platform yang menyatukan sektor awam dan swasta serta industri utama dan pihak akademik, bekerjasama untuk memberi inspirasi dan memupuk rasa minat dan penghargaan terhadap sains.
Tahun ini, sejumlah 54 rakan kolaborasi, termasuk rakan kerjasama antarabangsa dan tempatan telah menyertai festival ini.
Tema bagi tahun ini ialah “Kembara ke Masa Hadapan dan Terokai Kehebatan Sains” yang mencerminkan semangat dan aspirasi Petrosains untuk bergerak maju seiring dengan Revolusi Perindustrian keempat.
Melalui festival ini, Petrosains berharap dapat berkongsi dengan para pengunjung mengenai ilmu tentang sains masa hadapan dan kemungkinan masa hadapan. Rakan kolaborasi tempatan dan antarabangsa akan membawa teknologi humanoids atau robot untuk para pengunjung festival ini.
Terdapat juga ceramah, pameran dan aktiviti berteraskan teknologi dari rakan kolaborasi festival ini yang akan berkongsi dengan pengunjung topik mengenai penjagaan kesihatan, pendidikan dan komunikasi serta masa depan persekitaran kita.
Dari pengalaman AR, bengkel yang inovatif, kepada ceramah berinformasi dan aktiviti hands-on kreatif, Petrosains Science Festival akan dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang mengikut tema festival ini.
Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains berkata, Pusat Sains direka dan merupakan struktur pembelajaran persekitaran yang memainkan peranan penting sebagai sistem yang menyokong pembelajaran formal dan yang berterusan.
Kami sebagai salah satu Pusat Sains akan dapat membantu orang ramai untuk mempelajari perubahan dan cabaran yang sedang berlaku di dunia, seperti perubahan yang tidak dijangka seperti Artificial Intellingence, IOT, Nanoteknologi, Bioteknologi dan menjadikan pembelajaran lebih menarik dan mudah diakses.
Program berteraskan pendidikan, pameran, festival seperti festival sains ini mempunyai potensi untuk membantu orang ramai melihat dan memahami kemungkinan masa hadapan, sains pada esok hari dan bagaimana untuk menghadapi Revolusi Perindustrian keempat.”
Usaha mempromosikan festival telah diadakan lebih awal di seluruh negara dan di peringkat antarabangsa. Pameran Roadshow festival ini yang dianjurkan di universiti dan di pusat-pusat membeli belah sejak awal tahun ini, telah menarik minat orang ramai terutamanya generasi muda.
Festival ini juga telah menyertai acara di peringkat antarabangsa iaitu di World Science Festival di Brisbane, Australia pada Mac 2018 dan Shanghai Science Festival pada Mei 2018. Pihak dari negara China telah membalas lawatan.
Petrosains Science Festival telah diadakan buat pertama kalinya pada tahun 2013, dan pada tahun ini, festival di KLCC diadakan di The Galleria, Tingkat 4, Petrosains; Concourse, Suria KLCC dan juga di Esplanade, KLCC Park.
Pada tahun ini, festival ini buat pertama kalinya telah dijalankan di tempat-tempat lain di Malaysia iaitu di Petrosains PlaySmart Kuantan, Pahang pada 4 dan 5 Ogos 2018 dan di Petrosains PlaySmart Johor Baharu pada 11 dan 12 Ogos 2018.
Untuk maklumat lanjut dan jadual terperinci mengenai aktiviti semasa Petrosains Science Festival 2018, sila layari visit www.sciencefestival.my.