Celcom Axiata Berhad bekerjasama dengan Hong Leong Bank Berhad (HLB) bagi memperkenalkan SafePay, sebuah terminal Point of Sales mudah alih (mPOS) bagi perniagaan.
MEMAHAMI evolusi ekosistem e-pembayaran di Malaysia dan juga perkembangan transaksi tanpa tunai di kalangan rakyat Malaysia, Celcom dan HLB telah menyediakan kaedah pembayaran elektronik pada kadar mampu milik dan selamat, yang boleh digunakan oleh perusahaan kecil sejajar menyokong objektif Bank Negara Malaysia dalam peralihan ke arah masyarakat tanpa tunai.

Ianya sangat mudah dan pemilik perniagaan hanya memerlukan telefon mudah alih atau tablet yang dipadankan dengan mPOS Celcom SafePay melalui Bluetooth dan aplikasi khas dalam peranti mereka bagi melakukan transaksi kad kredit dan debit pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
mPOS Celcom SafePay juga ideal bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana kerana ia menawarkan Kadar Diskaun Saudagar (MDR) yang rendah iaitu pada 0.5% untuk kad debit dan 1.5% bagi kad kredit.
Pemilik perniagaan kini tidak perlu risau akan keperluan memiliki talian telefon khusus dan mereka dapat menjejak semua transaksi dengan efisyen melalui sistem e-resit dan laporan atas talian yang disediakan oleh Celcom SafePay.
Ketua Perniagaan Perusahaan dan Penyelesaian, Celcom Axiata Berhad, Surinderdeep Singh berkata, kerjasama dengan HLB menunjukkan komitmen syarikat telekomunikasi untuk memberikan pengalaman hebat kepada pelanggan dengan menyediakan penyelesaian terbaik kepada pelbagai keperluan perniagaan.
“Kami berbesar hati menjadi salah satu penyedia penyelesaian digital yang utama, dan akan terus meneroka potensi bagi peluang kerjasama yang baru untuk kekal inovatif. Celcom SafePay memberikan kemudahan mudah alih bagi perniagaan, dan membolehkan mereka menjalankan transaksi di mana sahaja mengikut keperluan,” katanya.

“Kerjasama strategik dengan Celcom ini membolehkan HLB untuk mengukuhkan kehadiran kami dalam pasaran Point of Sales mudah alih (mPOS).
“Gabungan kedua-dua entiti ini adalah saling melengkapi kerana sama-sama memiliki visi yang sama dalam menawarkan terminal pembayaran mudah alih yang lancar, mudah, dan selamat,” kata Charles Sik, Pengarah Urusan, Perkhidmatan Kewangan Peribadi, Hong Leong Bank.
“Dengan pertambahan mereka yang melakukan pembayaran tanpa tunai, keperluan untuk menyediakan sistem point of sales yang lancar, pantas dan mudah juga meningkat.
“Kini pemilik perniagaan tidak terhad kepada transaksi tanpa tunai secara fizikal di kedai mereka, dan tidak lagi memerlukan peranti pembayaran yang disambungkan ke saluran telefon fizikal. Dengan hanya telefon pintar atau tablet, pemilik perniagaan kini boleh menjalankan perniagaan di mana sahaja mereka berada,” katanya.