HeiTech Padu Berhad (HeiTech), penyedia perkhidmatan ICT global menerusi pasukan sukarelawannya HeiTech Cares menganjurkan Program Ziarah Ramadan Sahabat Jalanan bagi membantu golongan gelandangan menjalani ibadah puasa pada tahun ini.

PROGRAM Ziarah Ramadan Sahabat Jalanan adalah antara aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dijalankan di bawah HeiTech Cares bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan di kalangan warga kerja HeiTech di samping memberi peluang kepada mereka dan ahli keluarga untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Naib Presiden Eksekutif Pengurusan Risiko & Perkhidmatan Korporat HeiTech, Salmi Nadia Mohd Hilmey (dalam gambar – 3 dari kanan) bersama sukarelawan HeiTech Cares sedang mengagihkan makanan kepada sahabat jalanan di Jalan Lekiu, Kuala Lumpur.

Naib Presiden Eksekutif Pengurusan Risiko dan Perkhidmatan Korporat HeiTech, Salmi Nadia Mohd Hilmey berkata, sumbangan yang diberikan bukan sahaja bertujuan membantu sahabat jalanan ini bahkan menggunakannya sebagai platform untuk mendekati golongan ini secara lebih dekat.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk ambil peduli dan menghulurkan tangan membantu mereka dengan cara yang difikirkan sesuai. Program seperti ini memberi peluang kepada para sukarelawan untuk mengenali golongan ini secara lebih dekat sambil memberi kesedaran kepada mereka untuk mensyukuri nikmat yang ada.

“Apabila bersama dengan golongan ini dan menyelami perasaan mereka, barulah kita sedari bahawa mereka juga memiliki keinginan untuk berdikari dan impian membina kehidupan yang lebih sempurna. Oleh itu, apa yang mereka perlukan adalah peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

Dianjurkan bersama sebuah badan NGO iaitu Kelab Rekreasi dan Kebajikan Selangor (Well Care), program ini menyaksikan pembabitan kira-kira 40 sukarelawan terdiri daripada warga kerja HeiTech serta keluarga mereka.

Mereka bersama-sama menyediakan makanan untuk bersahur serta set kebersihan diri dan mengedarkannya kepada sahabat jalanan bermula di Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara di Jalan Hang Lekiu dan kawasan-kawasan tumpuan sekitar Kuala Lumpur.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini