Sejarah kehadiran model generasi pertama Honda CR-V bermula pada 1995 menerusi model yang panjang seakan sebuah kereta wagon tetapi dibezakan dengan laras ketinggian sebuah kenderaan pacuan empat roda.

PENULIS masih ingat lagi ketika itu model terbabit diedarkan oleh Honda Kah Motor Sdn Bhd yang terletak di Jalan Ipoh malah ketika model itu diperkenalkan Kah Motor turut menawarkan sebuah basikal lasak (mountain bike) pada harga istimewa bagi setiap pembelian model CR-V berkenaan.

Kini selepas lebih 20 tahun, model terbaru CR-V yang sudah memasuki generasi kelima tampil dengan reka bentuk serba baru dengan padanan ciri teknologi terkini.

Melihat kepada rekabentuk luarannya, model ini dihiasi kekemasan krom yang lebih besar pada gril atas menyebabkan kelihatan lebih besar manakala garisan bahu kenderaan ini nampak lebih tegap dan menonjolkan ciri sebenar sebuah kenderaan sukan utiliti (SUV).

Kehadiran lampu utama projektor dinamik LED turut memberikan kelebihan buat CR-V yang dilancarkan di pasaran pada Julai 2017.

Bagi varian tertinggi, 1.5TC-P 2WD menerima Advanced LED sepenuhnya dan disertakan dengan Auto High Beam serta Active Cornering Light.

Selain pada lampu utama, Honda turut memilih teknologi LED bagi lampu nyalaan siang, lampu isyarat membelok, lampu belakang dan lampu brek bagi semua varian.

Sebagaimana model baru Civic 2016 yang diperkenalkan di pasaran sebelum ini, Honda CR-V baru ini turut dipadankan dengan enjin 1.5L turbo yang menerima paling banyak tempahan.

Bagi enjin turbo ini, ia ditawarkan dengan tiga varian; 1.5TC-P 2WD yang merupakan varian tertinggi, selain 1.5TC AWD dan 1.5TC 2WD. Selain itu, ia hanya menawarkan satu enjin Naturally Aspirated (N/A) yang diletakkan sebagai varian paling asas iaitu 2.0L 2WD.

Rekabentuk bahagian belakangnya pula, menerima sedikit sentuhan dengan menampilkan lampu belakang LED dengan rekaan gabungan menegak dan melintang pada bahagian bawah seakan bersambung pada pintu tailgate.

Selain itu, varian turbo didatangkan dengan dua corong tip ekzos krom seperti mana yang turut ditampilkan pada model Civic turbo 2016, manakala ekzos tunggal untuk varian 2.0 N/A.

Melangkah masuk ke ruang kabin, rekaan kerusinya kelihatan mewah dengan corak geometri lebih menarik manakala paparan bahagian pemuka menceduk sedikit ‘design’ model Civic 2016 dan jelas dapat dilihat pada bahagian stereng yang dilengkapi butang kawalan audio.

 

Tidak ketinggalan kepelbagaian elemen dalaman secara standard untuk semua varian termasuk panel instrumen LED, brek parkir elektronik dan penahan brek auto, pendingin hawa auto dwi-zon dengan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang, kemasukan tanpa kunci, butang Push Start dan skrin sesentuh audio tujuh-inci bersama Apple CarPlay dan Android Auto serta lapan-pembesar suara.

Honda CR-V baharu menawarkan empat varian dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5L Turbo dan 2.0L N/A. Harga pula bermula RM142,400 hingga RM167,700.

Tujuh ciri menarik Honda CR-V

1. Enjin Turbo

Bagi enjin 1.5L Turbo charged, mampu menghasilkan sebanyak 191 hp (kuasa kuda) pada 5,600rpm dan tork 243Nm (2,000 – 5,000rpm).

2. Jimat Minyak

Honda CR-V 1.5L Turbocharged diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) sekali gus menawarkan penggunaan minyak lebih cekap iaitu dengan catatan 7 Liter per 100km.

3. Ruang dalaman luas

Ketinggian Honda CR-V meningkat dari 1,685 mm kepada 1,689 mm (+4 mm), lebar kini 1,855 mm (+35 mm), jarak roda 2,660 mm (+40 mm).

Ruang kargo juga 250 mm lebih luas berbanding generasi sebelum ini. Ruang kargo 522L boleh dibesarkan kepada 1,084L apabila tempat duduk barisan kedua dilipat sepenuhnya.

4. Teknologi Honda Sensing

Hanya versi premium saja dipadankan ciri Honda Sensing. Ia adalah ciri pemanduan pertama ditawarkan oleh Honda meliputi tujuh aspek keselamatan berikut.

Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control – ACC)
Jejak Kelajuan Rendah (Low-Speed Follow – LSF)
Sistem Amaran Perlanggaran Hadapan (Front Collision Warning – FCW)
Sistem Pembrekan Mitigasi Perlanggaran (CollisionMitigation Braking System – CMBS)
Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keeping Assist System – LKAS)
Sistem Mitigasi Tukar Lorong (Road Departure Mitigation – RDM)
Amaran Tukar Lorong (Lane Departure Warning – LDW)

5. Pilihan Varian

Empat varian dengan dua pilihan enjin. Antaranya;

Honda CR-V 2017 1.5L Turbocharged Premium 2WD
Honda CR-V 2017 1.5L Turbocharged 4WD
Honda CR-V 2017 1.5L Turbocharged 2WD
Honda CR-V 2017 2.0L 2WD

6. Aksesori tambahan

Bagi mereka yang mahukan penampilan lebih sporty, Honda Malaysia turut menawarkan tiga pakej tambahan iaitu Utility, Urban dan Aero.

7. Harga dari RM142,400

Dengan menawarkan pelbagai ciri menarik, Honda CR-V 2017 ditawarkan pada harga bermula RM142,400 hingga RM167,700.

Honda CR-V 2017 2.0L 2WD – RM142,400
Honda CR-V 2017 1.5L Turbocharged 2WD – RM155,700
Honda CR-V 2017 1.5L Turbocharged 4WD – RM161,600
Honda CR-V 2017 1.5L Turbocharged Premium 2WD – RM167,700

* Harga termasuk GST tanpa insurans.

Kesimpulannya, model Honda CR-V baharu ini bukan sahaja sesuai dipandu dilaluan bandar malah sudah diuji sesuai untuk laluan lasak yang ringan seperti dipandu dikawasan perladangan, pembinaan dan rekreasi di pinggir hutan.

Pada harga dibawah RM200,000, model ini boleh dianggap berbaloi untuk dimiliki apatah lagi jenama dari Jepun ini sudah cukup kuat menguasai pasaran automotif tempatan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini