Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyalurkan zakat perniagaannya melalui Projek Bantuan Rumah Bank Islam, salah satu program utamanya di bawah AMAL, inisiatif tanggungjawab korporat Bank Islam.

SEBANYAK empat buah rumah baharu dibina untuk menempatkan keluarga yang layak di
Yan, Kedah.

Penyerahan bantuan rumah ini dilakukan semasa Majlis Pengumuman Pembukaan Pusat
Perkhidmatan Bank Islam Cawangan Sungai Limau, Yan, Kedah yang disempurnakan
oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin.

Cawangan Sungai Limau ini akan menjadi cawangan Bank Islam yang ke-149
di seluruh negara dan ke-14 di Kedah.

Ia dijangka beroperasi pada Jun 2018 selepas pembukaan cawangan Sik pada bulan Mei 2018. Dengan pembukaan cawangan ini kelak, Bank Islam akan meluaskan perkhidmatan perbankan Islamnya kepada lebih 70,000 penduduk di sekitar Yan, Kedah.

Projek Bantuan Rumah Bank Islam dimulakan sejak tahun 2008. Ia bermatlamat untuk
meningkatkan kualiti dan taraf hidup golongan yang kurang bernasib baik serta
merealisasikan impian mereka untuk tinggal di rumah yang selesa.

Projek ini dilaksanakan melalui penyaluran sumbangan zakat untuk membina dan membaik pulih rumah keluarga terpilih yang kurang bernasib baik.

Sejak 2008, lebih daripada RM7.34 juta telah disalurkan melalui program ini dan seramai 269 keluarga seluruh negara telah menerima manfaat ini.

Khairul Kamarudin berkata, “Berikutan peningkatan harga rumah di pasaran dewasa ini, ia telah menyukarkan lagi rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan untuk memiliki rumah.

Bank Islam peka dan prihatin terhadap situasi ini dan berusaha untuk membantu golongan ini memiliki tempat yang selamat untuk berlindung.” Sebagai sebuah institusi kewangan Islam, Bank Islam tidak pernah gagal untuk menyempurnakan tanggungjawabnya membayar zakat perniagaan.

Pada akhir tahun 2017, Bank mencatat peningkatan pembayaran zakat perniagaan sebanyak 3.72% kepada RM13.3 juta berbanding RM12.8 juta pada tahun 2016 dan zakat ini dibayar
kepada setiap Majlis Agama Islam dan Lembaga Zakat Negeri-negeri.

Melalui dana zakat yang dikembalikan oleh Majlis Agama Islam dan Lembaga Zakat negeri (wakalah), Bank Islam bertindak sebagai wakil penyalur kepada pelajar golongan asnaf fakir dan miskin, aktiviti-aktiviti dakwah melalui institusi dakwah, NGO, program-program kebajikan, pendidikan, pembinaan dan pengimarahan surau, masjid dan sekolah.

Selain daripada Projek Bantuan Rumah Bank Islam, Bank juga menumpukan kepada program-program pendidikan. Modal insan merupakan aset penting negara dan dengan memperkasakan pendidikan, ia dapat melahirkan masyarakat yang berdaya maju.

Baru-baru ini, Bank Islam bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan Anugerah Surau Imarah Sekolah-sekolah (ASISS) di mana sebanyak 56 surau dan musolla sekolah menengah dan rendah mengambil bahagian untuk bersama-sama meningkatkan lagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau sebagai pusat dakwah komuniti.

Sebagai penaja utama program ini, Bank Islam secara keseluruhan telah memperuntukkan sejumlah dana zakat lebih RM360,000 sejak program tersebut diperkenalkan pada tahun 2013.

Untuk maklumat lanjut, layari www.bankislam.com.my dan amal.bankislam.com.my

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini