Takaful Ikhlas Berhad (Takaful IKHLAS), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB) mencapai satu lagi kejayaan baru-baru ini apabila memenangi Anugerah Perniagaan dan Kewangan Islam Asia Tenggara untuk kategori penyedia takaful am terbaik daripada CPI Financial yang beribu pejabat di Dubai Media City.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Datuk Ab Latiff Abu Bakar, berkata, ini merupakan pencapaian yang membanggakan buat Takaful IKHLAS yang kini telah beroperasi hampir 15 tahun.
“Kejayaan ini adalah atas usaha kolektif kesemua kakitangan syarikat, ejen dan rakan perniagaan kami”,
“Melalui usaha mereka yang berterusan berserta dengan pelaksanaan strategi-strategi utama kami secara berdisiplin, Takaful IKHLAS hari ini memberikan perlindungan kepada lebih daripada 2 juta pemegang polisi yang terdiri daripada individu dan korporat. Kami sentiasa fokus menjana produk dan perkhidmatan inovatif yang sesuai dengan keperluan pelanggan kami”, kata Datuk Hj Ab Latiff.
Takaful IKHLAS menawarkan pilihan produk motor dan bukan motor di bawah portfolio takaful amnya. Ini termasuk rancangan menyeluruh untuk perlindungan kenderaan, bangunan dan aset lain.
“Dalam tempoh jangka panjang, kami akan terus memperluaskan rangkaian produk kami bagi memenuhi keperluan para pelanggan yang sentiasa berubah”, tambah Datuk Hj Ab Latiff.
Mengenai Takaful Ikhlas
Takaful IKHLAS mula beroperasi pada Julai 2003 merupakan anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) dan pemegang saham utamanya adalah Permodalan Nasional Berhad dan pelbagai skim unit Amanah Saham PNB. Pada 5 Mei 2014, Syarikat menukar statusnya menjadi syarikat awam.
Takaful IKHLAS mempunyai 13 pejabat wilayah yang beroperasi di Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Johor, Kedah, Sarawak, Melaka, Sabah, Pahang, Perak, Terengganu, Putrajaya dan Negeri Sembilan. Pejabat Korporat Takaful IKHLAS pula terletak di Bangsar South, Kuala Lumpur.
Kini, Takaful IKHLAS mempunyai lebih 2 juta pemegang sijil (polisi) berdaftar dan juga lebih 6,000 orang ejen.