Spekulasi mengenai status ikatan pertunangan Elfira Loy dan Sufian Suhaimi akhirnya terjawab apabila ibu pelakon wanita itu, Filzah Yusoff, mengesahkan hubungan anaknya dengan penyanyi itu sudah putus.
IBU pelakon Elfira Loy, Filzah Yusoff, 52, mengesahkan bakal memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga penyanyi, Sufian Suhaimi sekali gus menjawab segala spekulasi mengenai hubungan itu.
Filzah ketika dihubungi berkata, Elfira yang kini berada di New York, Amerika Syarikat maklum berkenaan keputusan diambil.
“Sepatutnya saya dan bekas suami (bapa Elfira) ingin berjumpa keluarga Sufian yang kebetulan berada di Kuala Lumpur tetapi mereka beritahu sudah ingin pulang ke Muar.

“Jadi, saya dan bekas suami tunggu waktu lapang mereka pula untuk berjumpa dan pulangkan cincin. Cuma, apa boleh jelaskan, Elfira dan Sufian sudah tidak ada apa-apa hubungan.
“Elfira tahu mengenai perkara ini dan menyerahkan segala keputusan kepada kami. Saya berharap buat masa sekarang beri ruang dan privasi kami sekeluarga,” katanya.
Filzah juga menjelaskan, dia menganggap apa yang berlaku sudah ketentuan Allah.
“Saya beranggapan ini adalah jodoh dan ketentuan Allah. Semoga selepas ini Elfira ditemukan dengan lelaki yang baik.
“Apa yang berlaku biarlah menjadi rahsia kami sekeluarga. Tiada apa yang perlu saya huraikan lagi kerana sudah tertulis jodoh mereka tidak panjang. Insya-Allah dalam masa terdekat, bapa Elfira akan menemui keluarga Sufian untuk menyelesaikan urusan itu mengikut adat.
“Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, tetapi Allah menentukan segala-galanya. Setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anaknya, termasuk dalam hal membabitkan jodoh.
“Saya cuma berharap anak saya dipertemukan dengan lelaki yang jujur, beriman dan tahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin keluarga. Ini kerana rezeki tidak datang bergolek jika tidak berusaha,” katanya.
Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober tahun lalu dan mengikut perancangan awal, pasangan itu bakal disatukan awal bulan depan.
Spekulasi status pertunangan pasangan itu mula diperkatakan sejak Disember lalu apabila mereka tidak lagi memuat naik gambar bersama di laman sosial.
Elfira bagaimanapun, menepis spekulasi itu, sebaliknya mengakui, hubungan mereka juga menempuh dugaan terutama daripada orang di sekeliling.
Terdahulu, Elfira dalam satu catatan yang dimuat naik menerusi Instagramnya, memohon peminat supaya bersikap positif dan mendoakan yang terbaik.
“Anda boleh kata dan buat spekulasi, tapi takkan tahu cerita sebenar. Islam mengajar saya untuk sentiasa menjadi baik, positif, memaafkan dan melupakan.
“Anda adalah apa yang anda fikirkan. Setiap kata melambangkan diri. Jika anda bercakap hal yang baik, maka baiklah jadinya. Jika anda bercakap buruk, perbaiki untuk jadi lebih baik,” tulis Elfira dalam catatan itu.
Sementara itu, usaha mendapatkan kenyataan Sufian tidak berhasil. Penyanyi lagu Terasa Ada itu dalam kenyataannya sebelum ini, menegaskan soal perkahwinan bukan perkara main-main kerana ia membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak. Gambar dari Instagram Elfira dan Sufian