Nur Sajat Kamaruzzaman melahirkan kesyukuran selepas mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) petang semalam yang berlangsung dengan baik.

USAHAWAN dan jutawan kosmetik, Sajat berkata, pertemuan dengan Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Izwan Yusof, itu berlangsung di wisma miliknya di Shah Alam, jam 3 petang, semalam.

Katanya, pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu berjalan dengan baik selepas pihak Jakim mendapat pencerahan dan segala persoalan yang ditimbulkan.

“Alhamdulillah saya selesai terima ziarah daripada Jakim. Apa yang boleh saya katakan, perjumpaan berlangsung dengan lancar dan aman.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa mengambil berat mengenai saya sehingga viral,” katanya.

Sajat berkata, dia bersetuju untuk bertemu Jakim selepas mereka menghubungi untuk bertemu.

“Sebagai seorang yang rasional, mengapa perlu saya tolak,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Sajat turut membawa ibu bapanya dan peguam peribadi.

Sajat turut meluahkan rasa terkilannya terhadap sesetengah pengguna laman sosial yang suka mengeluarkan kata-kata kesat dan kurang sopan setiap kali memberi komen di laman peribadi miliknya.

“Saya tidak kisah jika mereka menegur saya dengan cara yang baik tetapi ada sesetengah mereka terang-terangan menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya.

“Jakim sendiri menghubungi saya dan bercakap dengan cara baik tetapi mengapa mereka yang kononnya ustaz dan ustazah di media sosial hingga mencaci maki,” katanya.

Kelmarin, Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Izwan Yusof menerusi ‘mesej terbuka’ di laman sosial Facebook menyuarakan hasratnya untuk bertemu dengan Sajat.

Menerusi ‘mesej terbuka’ itu, Izwan yang juga pakar dalam menangani isu berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Jakim berhajat untuk bertemu Sajat, memandangkan isu yang timbul kebelakangan ini berkaitan dirinya turut menimbulkan banyak persoalan di kalangan masyarakat.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha menerusi twitter miliknya turut menyatakan persetujuan berhubung hasrat Jakim untuk mengadakan pertemuan bersama ahli perniagaan dan selebriti terkenal itu. Gambar dari Instagram Nur Sajat

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini