Ifa Raziah tampil membuat laporan polis, semalam berhubung laporan berbaur fitnah oleh personaliti dari Singapura, Roslan Shah yang mendakwa dia mengupah pembunuh upahan untuk menembaknya.

PENYANYI dan pengacara itu berkata, tindakan Roslan Shah itu secara tidak langsung memburukkan imejnya sebagai selebriti dan disifatkan tidak masuk akal.

“Saya kecewa apabila dia melabelkan saya sebagai penjenayah. Saya tidak pernah terlintas untuk mengupah, mencederakan atau mengancam nyawanya.

“Dalam setiap temubual bersama media pun saya hanya minta dia membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kesalahannya.

“Apapun tuduhan dan laporan polis dibuat Roslan di Johor Bahru yang mendakwa saya mengupah pembunuh untuk menembaknya adalah satu fitnah melampau,” katanya.

Ifa berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Sentul, Kuala Lumpur pada jam 6.30 petang, semalam dengan ditemani peguam peribadi, Thalia Rohaina Abdul Latiff serta pengurus artis yang didakwa sebagai pembunuh upahan bernama Bob.

Menurut Ifa, dia terkejut apabila sahabat yang dikenali hampir 21 tahun itu sanggup membuat tuduhan dan laporan palsu terhadapnya.

“Saya menyesal kenal manusia seperti ini. Apa motif dia sebenarnya? Adakah dia nak bunuh kerjaya seni yang saya bina selama ini?.

“Tindakannya ini juga boleh memusnahkan perniagaan serta mencemarkan imej saya sebagai selebriti,” katanya.

Ifa berkata, jika sebelum ini Roslan tergamak menggelarnya seorang pelacur, tapi kali ini dia sanggup membuat laporan mendakwa saya sebagai penjenayah.

“Saya akan mengambil tindakan tegas dan pastikan dia menerima hukuman setimpal dengan setiap tindakan dibuatnya yang mengaibkan saya dan keluarga,” katanya.

Terdahulu Roslan membuat laporan polis selepas Ifa memuat naik kandungan video secara langsung di akaun Instagram miliknya yang didakwa kononnya Ifa mengupah pembunuh upahan untuk menembaknya.

Sementara itu, Roslan Shah menafikan kenyataan dibuat artis versatil, Ifa Raziah yang mendakwa dia membuat laporan polis dengan menuduh penyanyi dan pengacara wanita itu mengupah orang untuk menembaknya adalah tidak benar.

Bagaimanapun, penghibur yang digelar Sudirman Singapura itu mengakui telah membuat satu laporan polis di Balai Polis, Johor Bahru membabitkan kandungan video disiarkan secara langsung oleh Ifa Raziah sebelum ini.

Laporan polis oleh Roslan Shah

Roslan membuat laporan polis terbabit demi keselamatan diri dan juga keluarganya. Bagaimanapun jelas Roslan, dia tidak menyatakan langsung mengenai dakwaan kononnya Ifa mengupah pembunuh upahan untuk menembaknya dalam laporan polis dibuat malam semalam.

Jelasnya, dalam laporan polis terbabit dia tidak menyebut atau menulis tuduhan seperti apa yang didakwa Ifa Raziah.

“Saya bagaimanapun tidak boleh mendedahkan isi kandungan laporan polis yang dibuat atas nasihat pihak berkuasa.

“Pihak polis di Johor Bahru menasihati agar biar mereka melakukan siasatan terlebih dulu, kerana ia membabitkan ugutan jenayah,” katanya.

Roslan menjelaskan dia bertegas untuk membuat laporan polis itu untuk kebaikan dirinya bagi memastikan keselamatannya terjamin. Gambar dari Instagram Ifa Raziah dan Roslan Shah

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini