Honda Malaysia catat 109,511 unit jualan pada 2017 meningkat 19 peratus, merupakan rekod jualan tertinggi pernah dicapai dalam sejarahnya di Malaysia sejak penubuhannya pada 2003.
INI adalah kali pertama Honda Malaysia mencatatkan jualan melebihi 100,000 unit, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam jenama kenderaan bukan nasional di negara ini.
Peratusan tertinggi jualan dikuasai Wilayah Tengah iaitu mencapai 47%, diikuti dengan Wilayah Selatan dan Wilayah Utara. Keseluruhan jualan pada tahun 2017 turut mencatatkan peningkatan sebanyak 19% berbanding 91,830 unit pada 2016.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB), Toichi Ishiyama berkata, tahun 2017 benar-benar luar biasa bagi HMSB. Pada awal 2017, kami telah mencabar diri kami untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 100,000 unit dan pada Mac tahun lalu, kami berjaya mencatatkan kejayaan tersendiri apabila berjaya mencapai 600,000 unit bagi pengeluaran pemasangan tempatan (CKD) dalam tempoh 14 tahun tertubuhnya Honda Malaysia.
“Akhir tahun 2017, berdasarkan data dalaman perkongsian pasaran, kami berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 19% dan 3.2 poin berbanding 2016. Malah buat pertama kali, kami berjaya melepasi angka 100,000 unit jualan serta kekal menduduki tangga pertama dalam segmen bukan nasional dan tempat kedua dalam keseluruhan TIV bagi industri automotif.
“Terima kasih diucapkan kepada semua para pelanggan yang sentiasa mempercayai dan menyokong kami,” kata Ishiyama.
Honda Malaysia juga berazam untuk memacu langkah lebih gemilang bagi tahun 2018 dengan pelbagai lagi produk yang menarik dalam perancangan.