Naza Kia Malaysia Sdn Bhd memperkenalkan model pemasangan tempatan (CKD) bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) Kia Grand Carnival yang kini ditawarkan dalam dua varian, KX dan EX.
MODEL paling asas, KX dijual pada harga RM161,191.63, manakala model dengan spesifikasi lebih tinggi, EX, dijual pada harga RM180,667.99. Harga berkenaan merujuk kepada harga atas jalan tanpa insurans.
Kia Grand Carnival kini dilengkapi dengan lebih banyak ciri antaranya skrin sentuh 8 inci bagi sistem infotainmen (sebelum ini 4.3 inci) dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Pengguna kini boleh mencapai fungsi dalam telefon mereka seperti sistem tunjuk arah GPS, panggilan, mesej dan pemain multimedia lainnya.
Turut ditambah ialah capaian Bluetooth dengan kawalannya tersedia pada stereng. Ciri-ciri standard termasuk cermin pandang belakang electro-chromic, pengilap cermin aero-blade serta sistem kawalan pendingin hawa tiga-zon dengan ionizer (standard bagi EX) bagi model asas KX.
Seperti sebelum ini, varian KX datang dengan tempat duduk fabrik dua tona, manakala EX pula dengan tempat duduk kulit beige dua tona. Ketiga-tiga barisan tempat duduk mempunyai corong pendingin hawa tersendiri pada bahagian bumbung.
Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat dalam nisbah 40:20:40, dan boleh disorong ke depan untuk memudahkan akses ke barisan ketiga. Tempat duduk ketiga pula boleh dilipat dalam nisbah 50:50. Ruang barangan yang tersedia ialah 359 liter dan boleh dilanjutkan kepada 2,718 liter dengan tempat duduk diturunkan.
Bagi aspek keselamatan pula, model ini dilengkapi dengan enam beg udara, sensor parkir di depan dan belakang, ESC, ABS dan Hill Assist Control adalah standard. ISOFIX pula terdapat dua dibarisan kedua dan satu di tempat duduk barisan ketiga.
Spesifikasi enjin masih menggunakan enjin berkuasa 2.2 liter empat-silinder CRDi turbodiesel dengan janaan kuasa sebanyak 190 hp pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Ia digandingkan dengan sistem transmisi automatik enam-kelajuan.
Kia Grand Carnival didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dari pengeluar, serta pakej kewangan “Value 5” dari Kia. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang model ini sila layari laman web https://www.kia.com.