Pelakon, Zizie Ezette, 39, menerusi akaun Instagramnya mengumumkan berita kelahiran bayi kembarnya yang selamat dilahirkan pada pagi Jumaat, lalu.
“Ibu yang menyambut hari ulang tahun kelahiran, bersama dua ‘hadiah’ awalnya,” tulisnya di akaun Instagram dengan nama @zizieizette itu.
Beliau berkata, kedua-dua bayi lelaki itu dilahirkan secara pembedahan dan kini berada dalam keadaan sihat.“Ibu menjangkakan kelahiran kedua-duanya pada hari ini, (30 Disember), tapi mereka memberi kejutan dan dilahirkan menerusi pembedahan C Section, Jumaat, 29 Disember,” katanya.
Bayi kembar pertama dilahirkan pada jam 5.48 pagi, manakala bayi kembar kedua selamat dilahirkan dua minit selepas itu.Zizie juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan keselamatan dan kelancaran proses bersalinnya.
Gambar yang dimuat naik di Instagram itu menunjukkan Zizie memegang dua bayi kembarnya dan menerima hampir 30,000 ‘like’ dalam masa 20 minit serta komen ucapan tahniah daripada netizen.
Beberapa artis tempatan juga dilihat menitipkan ucapan tahniah di ruangan komen antaranya Siti Sarah Raisuddin, Fara Fauzana dan ramai lagi. Ini adalah kelahiran pertama hasil perkahwinannya dengan ahli politik, Datuk Bung Moktar Radin, 58 tahun. Gambar dari Instagram Zizie