Penyanyi Khai Bahar meraih tiga kategoti dalam Hot FM Top Hot 2017 menerusi kategori Lagu Hot 2017 (Luluh), Penyanyi Lelaki Hot 2017 dan FB Live Hot 2017 (bersama Wany Hasrita).
KEJAYAAN diraih itu berkat kerja keras peminat yang mengundi dirinya dalam setiap pencalonan. “Macam dikatakan sebelum ini, tanpa sokongan peminat mustahil saya boleh dapat semua ini. Sebagai penyanyi baru, ini satu pencapaian dan kejayaan besar untuk saya dalam kerjaya dan peribadi.
“Paling penting, setiap kemenangan diraih sepanjang tahun ini saya dedikasikan khas buat semua peminat terutama Khai Bahar Empire (KBE) dan seluruh keluarga. Malah, ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus memberikan yang terbaik,” katanya.
Tiga kemenangan itu menyaksikan Khai berjaya meraih lapan anugerah sepanjang tahun ini membabitkan acara Anugerah Bintang Popular 3.0, Anugerah MeleTop Era dan Anugerah Planet Muzik 2017.
“Saya bersyukur dengan apa yang ada dan menganggap ia rezeki. Menang anugerah tidak bermaksud saya bagus atau popular berbanding orang lain, tetapi ini atas usaha peminat.
“Secara peribadi, masih banyak yang perlu saya pelajari dan perbaiki. Saya masih hijau dalam bidang ini dan perjalanan masih panjang. Setiap apa dilalui memberi satu pengalaman baru. Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan percaya dengan bakat saya,” katanya.
Antara kategori yang dipertandingkan adalah Lagu Hot 2017, Penyanyi Lelaki Hot 2017, Penyanyi Wanita Hot 2017, Penyanyi Baru Hot 2017, Super Band Hot 2017 dan FB Live Hot 2017.