Sejak tempahan Civic Type R ini dibuka pada 1 Oktober lalu, Honda Malaysia telah menerima lebih daripada 70 tempahan.
PELANGGAN setia Honda, Adrian Salleh Hashim muncul menjadi pemilik pertama model Honda terpantas dalam kategori kereta pacuan roda hadapan yang dijual pada harga RM320,000 tanpa insurans di Malaysia.
Majlis penyerahan kunci kereta itu dilakukan di Botanic Auto Mall Sdn Bhd, Klang dalam satu majlis ringkas yang disampaikan oleh Naib Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Akkbar Danial.
Akkbar berkata, pihaknya kekal komited untuk memberikan kegembiraan buat pelanggan dengan menawarkan produk yang bernilai tinggi dan termaju dalam teknologi. Civic Type R generasi terbaru ini menonjolkan kelainan, di samping berprestasi dalam trek perlumbaan malah ia juga boleh digunakan dalam pemanduan harian di jalan raya Malaysia.
Beliau berkata, satu tinjauan terhadap pelanggan telah dilakukan sebelum pelancaran Civic Type R 2007 atau lebih dikenali sebagai FD2R, dan Adrian Salleh merupakan antara pelanggan pertama yang ditemubual bagi mendapatkan maklum balas mengenai Type R, bagi mengenalpasti permintaan dan keperluan dalam segmen pelanggan baru. Minatnya yang mendalam terhadap Type R terbukti apabila Honda Malaysia menyampaikan jentera tersebut kepadanya, sekali gus menjadi pemilik pertama yang memiliki hot hatch idaman ramai ini.
“Pada 2007, Malaysia menjadi satu-satunya negara di luar Jepun yang melancarkan FD2R. Malah Honda Malaysia berjaya menjual 420 unit FD2R antara 2007 hingga 2011. Pencapaian ini mungkin disebabkan populariti dan permintaan terhadap kereta lumba yang turut boleh dipandu di jalan raya biasa. Malah kita juga menyaksikan pertambahan bilangan peminat-peminat Honda dan juga penggemar jentera seperti Type R ini,” katanya.
Honda Civic Type R muncul jentera terpantas di litar Nurburgring, Jerman dalam kategori kereta pacuan roda hadapan dan dilancar secara rasmi pada 9 November lalu bersempena Malaysia Autoshow 2017. Model untuk pasaran Malaysia ketika ini dihasilkan di kilang Honda Swindon, United Kingdom.
Sementara itu, Adrian Salleh yang bertuah menjadi pemilik pertama Civic Type R generasi terbaru itu berkata, pelancaran Civic Type R ini membuatkannya teruja mahu mengujinya. “Saya sangat teruja dengan rekabentuk luaran yang sporty dan berani, malahan prestasinya yang sungguh berkuasa juga sangat sesuai untuk saya memandunya setiap hari. Bagi saya, ia memiliki elemen unik seperti mod 3-Way Driving iaitu COMFORT, SPORT dan +R Mode yang memberikan saya peluang melaras mod pemanduan mengikut prestasi dinamik yang berbeza dalam persekitaran pemanduan yang berlainan.”
Selain menjadi rakyat Malaysia yang pertama membawa pulang hot hatch ini, Adrian turut bertuah dihadiahkan beberapa barangan termasuk cenderahati istimewa dari Honda, GoPro HERO 5 dan Honda Ultra Glass Body Coating dengan Ultra Window Coating bernilai RM5,300 sebagai penghargaan daripada Honda Malaysia.
Civic Type R generasi baru ini dijana enjin 2.0 liter VTEC Turbo K20C1, dipadankan dengan hanya kotak gear manual enam-kelajuan bersama short shifter dan LSD helical.
Setiap model ini bukan sahaja unik malah memiliki nombor siri khas yang terletak ditengah-tengah konsul sekali gus menjadi peringatan kepada ciri eksklusif Civic Type R.
Sementara itu, pemilik Botanic Auto Mall, Dato’ Mahfoz Hamid berkata, pihaknya berbangga kerana menjadi salah satu daripada 20 pengedar Honda Sport yang mengedarkan model Civic Type R ini.
Honda Civic Type R dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM320,000. Pelanggan boleh melawat mana-mana cawangan Honda 20 Sport Dealers* untuk melihat lebih dekat model itu dan membuat tempahan. Maklumat lanjut mengenai kereta itu boleh menghubungi talian bebas tol 1-800- 88-2020 atau layari laman web www.honda.com.my