Jambatan ini juga akan ‘membelah awan’ di waktu pagi terutamanya selepas hujan yang akan memberikan pengalaman menarik bagi pengguna.

JALAN Pintas Rawang atau Rawang Bypass sepanjang 9 kilometer yang sudah dibuka kepada umum pada 29 November lalu adalah pembinaan struktur tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 58.2 meter.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pembinaan mengambil masa yang lama untuk siap disebabkan reka bentuk yang terpaksa diubah bagi mengurangkan kesan kepada alam sekitar di kawasan Taman Warisan Negeri Selangor. Jalan Pintas Rawang itu dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 30,000 pengguna setiap hari.

Katanya, jajaran baru itu bakal mengurangkan kesesakan jalan raya dan memendekkan masa perjalanan pengguna dari Serendah ke Selayang, terutamanya pada waktu puncak.
“Jika sebelum ini pengguna mengambil masa sehingga dua jam pada waktu puncak, kini mereka hanya memerlukan kurang daripada 30 minit untuk ke destinasi sama.
“Ia dijangka memanfaatkan kira-kira 30,000 pengguna setiap hari dan dapat mengurangkan 50 peratus kesesakan jalan raya sedia ada,” katanya ketika berucap merasmikan Jalan Pintas Rawang, baru-baru ini. Projek Jalan Pintas Rawang yang bernilai RM628 juta itu mula dibina pada 16 Julai 2005 dan siap sepenuhnya pada 21 November lalu.

“Projek pembinaan yang melalui Taman Warisan Selangor itu melibatkan kawasan hutan yang telah dikurangkan daripada 65 hektar ke 24 hektar. Ia bagi memastikan kawasan rezab hutan kekal terpelihara terutamanya spesies haiwan hutan yang kian pupus,” kata Fadillah.
Katanya, keunikan Jalan Pintas Rawang ini ialah pembinaan struktur tiang tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 58.2 meter dari aras tanah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Seri Dr Roslan Md Taha berkata, projek itu melibatkan jajaran baru dua lorong dua hala dan struktur bertingkat 2.7km serta menaik taraf Jalan Persekutuan sepanjang 12.5km.

Kaedah terbaru pembinaan turut diperkenalkan dalam projek pembinaan ini seperti penggunaan geogrid, ‘hand dug cassio‘ dan ‘precast interlocking slab’ untuk perlindungan sungai serta perangkap lodak bagi mengawal kelodak pasir daripada memasuki sungai yang dapat membantu mengekalkan keadaan alam sekitar. Dengan penggunaan teknologi pembinaan itu dapat mengekalkan keindahan Hutan Lipur Kanching dan menggalakkan industri pelancongan. -Bernama

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini