RADIO Hot FM kini menganjurkan satu lagi anugerah khas Top Hot 2017 untuk menghargai penyanyi dan lagu yang diperdengarkan sepanjang tahun ini.

Top Hot 2017 mempertaruhkan enam kategori dalam usaha menghargai serta memberi pengiktirafan kepada penggiat seni muzik tanah air yang telah bekerja keras dalam industri sepanjang tahun.

Seiring dengan perkembangan media digital, pengiktirafan anjuran stesen radio Hot FM ini menggunakan sepenuhnya platform digital dimana orang ramai boleh mengundi calon-calon kegemaran mereka di laman web rasmi Hot FM, www.hotfm.com.my.

Antara kategori yang dipertandingkan adalah Lagu Hot 2017, Penyanyi Lelaki Hot 2017, Penyanyi Wanita Hot 2017, Penyanyi Baru Hot 2017, Super Band Hot 2017 dan FB Live Hot 2017. Senarai pencalonan awal Top Hot 2017 adalah berdasarkan produk penggiat seni yang ke udara di Hot FM dari 1 Januari hingga 31 Oktober 2017.

Bermula 13 November lalu, undian pusingan pertama telah dibuka untuk menyenarai pendek lima calon terbaik daripada senarai pencalonan awal dan sesi undian pusingan pertama akan berakhir pada 24 November jam 12.00 tengah malam.

Manakala undian pusingan akhir yang bakal menentukan pemenang bagi setiap kategori akan bermula pada Isnin, 27 November dan akan ditutup pada Jumaat, 15 Disember 2017 jam 12.00 tengah malam.

Pemenang akan diumumkan di Hot FM pada 29 Disember bermula jam 6.00 pagi dan semua perkembangan terkini mengenai Top Hot 2017 boleh diikuti menerusi platform digital Hot FM.

Top Hot 2017 ialah pengiktirafan yang memberi kuasa sepenuhnya kepada pendengar dan peminat setia untuk menentukan pemenang bagi kesemua kategori pencalonan yang dipertandingkan. Gambar ihsan TV3