Model MPV popular pilihan rakyat Malaysia kini tampil lebih sporty

NISSAN Grand Livina yang popular sebagai sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang versatil kini mendapat sentuhan lebih garang dan sporty menerusi padanan pakej IMPUL baru.
Model edaran Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) itu tampil dengan spoiler bampar hadapan baru, Lampu Nyalaan Siang (DRL) LED signatur IMPUL, skirting sisi, wing spoiler belakang dan bampar belakang.

Gaya dinamik itu ditingkatkan lagi menerusi gril hadapan berwarna hitam, tambahan pada arca roda dan rim aloi IMPUL HS-10 bersaiz 17 inci bersama kemasan krom serta warna hitam berkilat.
Penambahbaikan itu juga menyaksikan pemasangan sistem suspensi IMPUL berprestasi tinggi membabitkan penyerap hentak serta pegas gegelung yang direka untuk merendahkan kenderaan sebanyak 25mm sekali gus mampu menawarkan pengendalian lebih mantap dan selesa.

Bagi memberikan prestasi dan gaya sporty, model itu dilengkapi peredam ekzos tahan karat dengan kemasan berkilat bersama logo IMPUL yang dipasang pada paip ekzos melengkapkan lagi penampilan NISSAN Grand Livina ini.
Dalam sesi pandu uji ringkas model itu mendapati, pemanduan NISSAN Grand Livina IMPUL ini ibarat sedan sport tanpa mengorbankan ciri sebagai sebuah MPV. Meskipun model dipandu uji ini berkuasa 1.6 liter Auto, kuasa enjin yang dipadankan mampu membawa kenderaan ini tanpa sebarang masalah daripada segi prestasi dan kuasa.

Lampu LED DRLnya kelihatan cukup padan dan mampu dilihat dari jauh sekali gus memberi satu tanda amaran kehadiran model ini di jalan raya dalam bentuk gaya yang cukup sporty dan agresif.
Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan berkata, NISSAN Grand Livina IMPUL dipasang dari kilang dan ditawarkan dalam dua pakej iaitu IMPUL Complete Package dan IMPUL Premium Package.

Semua pakej aksesori ini hadir dengan jaminan selama 3 tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).
Beliau berkata, pemilik NISSAN Grand Livina sedia ada yang berminat untuk membeli pakej IMPUL boleh menghubungi talian 03 4047 8786 atau emel ke [email protected] dan maklumat lanjut, sila layari laman web www.impul.com.my.

Aerokit, suspensi dan peredam ekzos dilesenkan oleh IMPUL serta dihasilkan di Malaysia manakala rim aloi IMPUL HS-10 pula diimport dari Jepun.

IMPUL COMPLETE PACKAGE (RM12,800*)
IMPUL Aerokit
(merangkumi Spoiler Bampar Hadapan, Spoiler Bampar Belakang dan Skirting Sisi)
Lampu Nyalaan Siang LED
Gril Hadapan Sports berwarna Hitam
Tambahan pada Arca Roda
Rim Aloi IMPUL HS-10 17″
Peredam Ekzos IMPUL Blast 2
Suspensi Sports IMPUL
Tayar Continental ContiMaxContact MC5 (205/45 R17)
*Termasuk GST

IMPUL PREMIUM PACKAGE (RM13,009*)
IMPUL Aerokit
(merangkumi Spoiler Bampar Hadapan, Spoiler Bampar Belakang dan Skirting Sisi)
Lampu Nyalaan Siang LED
Gril Hadapan Sports berwarna Hitam
Tambahan pada Arca Roda
Tempat Duduk Kulit (Beige atau Hitam)
Perakam Video Pemanduan
Filem Keselamatan V-Kool

AKSESORI INDIVIDUAL
* Termasuk GST
Impul Aerokit dengan DRL (RM6,572)
Rim Aloi Impul HS-10 17” (RM4,770)
Suspensi Sports Impul (RM2,914)
Peredam Ekzos Impul Blast 2 (RM1,884)
Tayar Continental Contimaxcontact MC5 (205/45 R17) (RM1,822)
Tambahan Arca Roda (RM848)
Gril Hadapan Sports Hitam (RM742)

Harga jualan di atas jalan raya termasuk GST tanpa insurans:

Nissan Grand Livina 1.6 liter manual RM87,100

Nissan Grand Livina 1.6 liter Auto (RM91,100)

Nissan Grand Livina 1.8 liter Auto (RM102,800)

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini