Sebelum bercuti rancang dahulu tempahan bilik hotel menggunakan aplikasi atau laman web
PENGINAPAN adalah belanja kedua terbesar selepas tiket penerbangan saat bercuti terutama bercuti bersama keluarga atau jika berada di sesuatu tempat dalam tempoh yang lama. Justeru, jika bijak ‘memburu’ penginapan murah pastinya anda akan mendapatkan penjimatan yang besar.
Penggunaan internet juga nyata memudahkan lagi pencarian bilik yang murah dan selesa. Berikut beberapa tip mencari bilik penginapan murah yang di seantero dunia.
1. Laman web hotel pencarian bilik
Dengan adanya pelbagai laman web pencarian bilik, seperti Agoda, Booking.com, Trivago, Expedia, Tripadvisor, hotelscombined, traveloka dan hotels.com anda berpeluang memperoleh penginapan yang diinginkan dengan harga yang murah.
Menerusi laman web ini juga, anda dapat melihat perbandingan harga bilik yang berbeza. Justeru, anda boleh memilih sebaiknya. Menariknya, dari harga yang murah, akan ada juga promosi lain yang disediakan yang pastinya memberikan pulangan yang hebat.
2. Cari di laman rasmi hotel
Tidak dinafikan penempahan secara terus di kaunter hotel sangat mahal. Jadi, jangan terus berjalan masuk ke hotel dan membuat tempahan.
Buatlah tempahan awal menerusi laman rasmi hotel yang ingin diinapi. Namun, sebelum itu, gunakan laman web yang membandingkan harga bilik.
Kemudian senaraikan hotel yang memberikan harga yang rendah dan barulah masuk ke dalam laman web rasmi mereka untuk mendapatkan harga dan tawaran terhebat.
3. Hotel murah dengan lokasi yang strategik
Bagi penjimatan berganda, cari bilik murah yang berdekatan dengan stesen pengangkutan awam dan lokasi yang ingin dilawati. Secara tidak langsung, anda dapat menjimatkan kos pengangkutan.
Pergerakan anda sekeluarga juga lebih mudah dan tidak perlu runsing untuk memikirkan hal pengangkutan atau kelewatan ke lokasi menarik.
4. Tempah hotel bersama penerbangan
Rata-rata laman web pencarian hotel turut menawarkan pembelian tiket penerbangan dalam saluran yang sama. Justeru, dengan tempahan hotel bersama tiket penerbangan, anda boleh jimat banyak.
Sesetengah laman web juga menawarkan potongan atau tawaran hebat bagi mereka yang membuat tempahan penerbangan sekali dengan penginapan.
Jadi, jangan lepaskan peluang ini.
5. Menginap di hostel
Hostel sering dipandang sebagai penginapan yang sesak dan tidak sesuai dijadikan penginapan saat bercuti bersama keluarga. Namun, kini, bilik hostel yang ditawarkan ada kalanya jauh lebih selesa dari bilik hotel terutama hostel-hostel moden.
Ramai yang tidak suka menginap di hostel kerana berpendapat akan tidur bercampur dengan orang yang tidak dikenali.
Namun, ramai tidak mengetahui terdapat juga bilik-bilik persendirian untuk pelancong yang datang berdua atau bersama keluarga dan pastinya, harganya jauh lebih murah berbanding menginap di hotel.
Hostel juga kebanyakannya berdekatan dengan tempat tarikan pelancongan dan pengangkutan awam yang pastinya akan memudahkan pergerakan anda.