Model Honda terpantas dijual pada harga RM320,000 tanpa insurans di Malaysia

AKHIRNYA jentera terpantas di litar Nurburgring, Jerman dalam kategori kereta pacuan roda hadapan dilancar secara rasmi bersempena Malaysia Autoshow 2017.

Model itu merekodkan masa 7 minit dan 43.80 saat di litar berkenaan pada April 2017 sekali gus mencatatkan satu tanda aras baru bagi satu masa pusingan di litar berkenaan.

Meskipun harga sebenar belum diumumkan secara rasmi, sebanyak 60 unit Honda Civic Type R (FK8R) ditempah selepas ia dibuka untuk tempahan pada 1 Oktober lalu. Honda Malaysia Sdn Bhd turut mensasarkan jualan sebanyak 100 unit model itu bagi tahun pertama jualannya.

Hideki Kakinuma, Assistant Large Project Leader of the All-New Civic Type R dan Toichi Ishiyama, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HMSB bergambar dengan Honda Civic Type R baru.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, pihaknya menjangkakan antara 30 hingga 40 unit model itu akan diterima pembeli sebelum akhir tahun ini manakala selebihnya dibuat pada tahun depan.

Jumlah tempahan itu secara tidak langsung melengkapkan sasaran jualan model ini selama dua bulan, di mana sasaran asal ditetapkan pada kadar 30 unit sebulan.

Bagaimanapun, pada fasa pertama, HMSB menyediakan 150 unit Honda Civic Type R sehingga Mac tahun depan bagi mengelakkan proses menunggu yang terlalu lama dari kilang Honda Swindon, UK. Jika di Jepun, proses menunggu jentera berprestasi itu boleh mencecah antara enam bulan sehingga setahun.

Civic Type R FK8 dipadankan dengan enjin 2.0 liter VTEC Turbo yang menjana 310 PS pada 6,500 rpm serta tork maksimum 400 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm, digabungkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan bersama LSD helical. Enjin berkenaan menjana 10 PS kurang dari pasaran Eropah, namun istimewanya talaan ini, ia masih boleh beroperasi secara optimum walaupun menggunakan petrol RON 95.

Kotak gear manual itu dibina secara eksklusif untuk FK8R bagi meningkatkan kuasa pecutan dan pada masa sama dilengkapi dengan Rev Match System bagi memberi keseronokan pemanduan kereta sport bagi semua peringkat pemanduan.

Honda turut menawarkan tiga mod pemanduan yang boleh dilaras pada konsul tengah sama ada untuk memilih Comfort, Sport dan +R.

Mod pemanduan itu akan melaras semula tindak balas stereng dan pedal pendikit, penukaran gear, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) serta talaan pada Sistem Suspensi Adaptif. Pemilihan mod terbabit juga boleh membuatkan paparan bertukar pada speedometer.

Bagi memberhentikan jentera terpantas itu, brek Brembo dengan empat omboh digunakan pada bahagian hadapan dan dipadankan pelapik brek yang dicipta khas untuk Civic Type R.

Sementara itu, lubang pengudaraan pada bonet hadapan berfungsi menyejukkan intercooler yang terletak di belakangnya.

Ventilasi pada hud enjin itu bukan sekadar aksesori tetapi ia juga membantu kestabilan Civic Type R dengan mengalirkan udara ke dalam kereta.

Bagi memberi pengendalian lebih mantap, ia menggunakan suspensi ‘independent multi link’ di belakang, manakala hadapan dijana topang dual axis.

Pilihan warna bagi pasaran Malaysia adalah terhad kerana ia ditawarkan dengan White Championship (putih). Bagi anda yang ingin menyaksikan lebih dekat model itu boleh datang ke Malaysia Autoshow 2017 di MAEPS, Seri Kembangan, Serdang bermula 9 sehingga 12 November ini.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini