Model baru Myvi dibuka untuk tempahan mulai esok
SECARA rasminya, PERODUA mengumumkan model serba baru Myvi serba baru menggantikan model Myvi sedia ada dalam pasaran akan dibuka untuk tempahan bermula esok. Lebih menarik, harganya juga turut diumumkan iaitu bermula dari RM44,300, tidak termasuk insurans.
Sepertimana yang kita sedia maklum bahawa model Myvi ini pernah menjadi model paling popular keluaran Perusahaan Otomobil Nasional Kedua (PERODUA) dan tidak hairanlah model ini terus mendapat sambutan sehingga ke hari ini.
Perodua menyifatkan model Myvi generasi ketiga ini akan menampilkan rekaan yang lebih segar dan bergaya, dengan keselesaan dan keluasan yang tetap menjadi keutamaan bagi memastikannya kekal praktikal.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, Myvi serba baru ini menjadi model Perodua pertama yang mana rekaan luarannya dilakukan oleh Perodua sendiri tanpa input dari orang luar.
“Enjin baru Myvi ini dihasilkan dari kilang pembuatan enjin Daihatsu PERODUA di Sendayan, Negeri Sembilan. Daihatsu juga membantu dan memberi sokongan kepada perancangan produk, perancangan pengeluaran, kejuruteraan dan pengeluaran selain bertindak sebagai satu kumpulan,” kata Aminar.

Terdapat dua pilihan enjin yang ditawarkan iaitu 1.3L dan 1.5L baru yang cekap tenaga (EEV), lengkap dengan ciri Dual VVT-i yang dipadankan dengan sistem transmisi lima-kelajuan manual atau automatik empat-kelajuan E-AT bagi semua varian.
Sebanyak lima varian ditawarkan iaitu 1.3 Standard G (MT), 1.3 Standard G (AT), 1.3 Premium X (AT), 1.5 High (AT) dan 1.5 Advance (AT). Ditawarkan pertama kali untuk Myvi ialah ciri Eco Idle bagi tiga varian paling tinggi – di mana enjin akan mati dan hidup semula jika brek dilepaskan (dalam keadaan statik).
Kelebihan lain bagi model ini ialah dilengkapi dengan ciri keselamatan termaju. Sebagai contoh, varian tertinggi 1.5 Advance akan dilengkapi dengan Advance Safety Assist (ASA) – yang turut merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision Warning, Pre-Collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control. Sistem ini berfungsi melalui sebuah kamera yang terletak di belakang bahagian cermin pandang belakang.

Selain itu, semua varian Myvi 2018 serba baru ini akan dilengkapi dengan ciri ABS dengan EBD serta Vehicle Stability Control (VSC) sebagai ciri standard. Selain itu, semua varian 1.5L akan dilengkapi dengan enam beg udara, sementara varian 1.3L dengan empat beg udara. Perodua mensasarkan untuk memperoleh ASEAN NCAP lima bintang.
Kelengkapan lain yang disertakan ialah lampu utama LED dengan fungsi Follow-Me-Home serta boleh laras, sistem tanpa kunci dengan butang Push Start, nisbah lipatan kerusi belakang 60:40 dan sensor undur. Varian 1.3L akan hadir dengan rim 14 inci, manakala varian 1.5L dengan rim 15 inci.
Enam pilihan warna akan ditawarkan kepada pelanggan – Ivory White, Glittering Silver, Mystical Purple, Lava Red, Peppermint Green (warna baru untuk varian 1.3L) dan Granite Grey (warna baru untuk varian 1.5L).
Harga setiap varian:
1.3 Standard G (MT) – RM44,300
1.3 Standard G (AT) – RM46,300
1.3 Premium X (AT) – RM48,300
1.5 High (AT) – RM51,800
1.5 Advance (AT) – RM55,300.
*Semua harga tidak termasuk insurans.