Wanita Terindah mula ditayangkan sejak 2 November lalu di Astro First Eksklusif, saluran 480

MENYUSULI kejayaan lagu Wanita Terakhir ciptaan Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Anas Amdan yang dipersembahkan sebagai single pertamanya pada bulan Januari 2017, bintang paling popular, Fattah Amin, mengorak selangkah lagi dengan mengangkat karya tersebut untuk menjadi sebuah novel indah.

Diilhamkan daripada lagu Wanita Terakhir, novel tulisan penulis terkenal, Ezza Mysara yang dilancarkan pada April lalu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 lalu habis terjual bak pisang goreng panas.

Lebih manis lagi apabila penulisan pertama Fattah Amin, #99katakataFattahAmin #QalifModen turut dinobatkan sebagai Buku Paling Laris pada acara berkenaan.

Kini, pelakon berbakat besar yang baru menginjak ke usia 27 tahun pada September lalu kembali dengan sebuah lagi edisi hebat, menerusi filem televisyen (FTV) sulungnya yang berjudul Wanita Terindah.

Wanita Terindah. Gambar oleh Astro

FTV yang diadaptasikan dari novel itu adalah kerjasama antara Astro First Eksklusif, penerbitan Red Films Sdn Bhd dan pengurusan Fattah Amin, FastyleAsia.

Wanita Terindah diarahkan oleh Joon Goh, sutradara yang pernah mendapat pengiktirafan pada majlis penganugerahan berprestij di peringkat antarabangsa seperti John Bradbury Awards 2011.

Karya beliau turut menerima pencalonan akhir setanding naskhah hebat antarabangsa yang lain seperti di Soho Shorts Festival dan London Short Film Festival.

Manakala pelakon, pengacara dan penulis skrip yang tidak asing lagi dalam industri seni tanah air, Rafidah Abdullah sekali lagi diberi tanggungjawab untuk menulis skrip.

Dikenali sebagai seorang penulis skrip yang melakar karya dengan pendekatan luar dari kotak, skrip yang dizahirkan sering dilihat kreatif dan bersifat ‘urban’ dan ‘trendy’.

Karya-karya popular Rafidah termasuklah Gol & Gincu, Manisnya Cinta di Cappadocia, Pisau Cukur dan Istanbul Aku Datang.

Wanita Terindah turut menyaksikan gandingan sulung Fattah Amin dengan pelakon wanita tersohor negara, Nur Fazura, dalam sebuah naskhah berbentuk FTV.

Jika sebelum ini mereka telah mencetuskan fenomena apabila digandingkan sebagai pasangan kekasih dalam siri drama popular Hero Seorang Cinderella, tidak mustahil jika kolaborasi ini sekali lagi bakal menggegarkan pentas hiburan tanah air.

FTV ini berkisar mengenai Fahim Aiman (lakonan Fattah Amin), seorang jurugambar di sebuah syarikat penerbitan akhbar yang memiliki perwatakan yang panas baran, kurang penyabar dan degil.

Namun, dia yang merupakan seorang anak tunggal begitu akrab dan menyayangi ibunya (Puan Zahra), lakonan Liza Othman, sehingga menamakan wanita itu sebagai wanita terakhirnya dan tiada wanita lain yang mungkin mampu menandingi ibunya.

Mungkin kerana begitu menghargai pengorbanan ibunya selama ini yang membesarkannya secara bersendirian, Fahim begitu terkesan apabila ibunya membawa pulang seorang anak istimewa dari pusat jagaan ANGSANAcare yang mana ibunya berkhidmat sebagai seorang sukarelawan.

Fahim tidak dapat menerima kehadiran Fikri (Nik Adam Mika) dan mula memberontak di awal kemunculan anak ini di rumahnya. Tambah merumitkan keadaan apabila Fikri merupakan seorang pesakit leukemia (kanser darah) dan memerlukan rawatan yang kerap, dengan kos yang tinggi.

Namun begitu, rakan sekerja Fahim yang juga merupakan seorang wartawan, Nuryn Nafeesa (Nur Fazura) berjaya mengubah persepsi Fahim akan Fikri dan beliau kemudiannya mula menerima anak kecil ini.

Fattah dan Samantha. Gambar oleh Astro

Namun begitu, tatkala mereka mula meniti kebahagiaan sebagai sebuah keluarga, kecelakaan tiba-tiba menimpa keluarga ini dan Fahim kehilangan seorang insan tersayang. Ibunya telah terlibat dalam sebuah kemalangan jalanraya dan beliau tidak dapat diselamatkan.

Bagaimanakan kesudahan cerita ini, jangan lupa saksikan Wanita Terindah di Astro First Eksklusif, saluran 480 yang mula ditayangkan sejak 2 November lalu.

Dengan hanya RM15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian. Wanita Terindah juga boleh didapati di platform digital, ‘on demand’.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini