Nyanyian Dayang Nurfaizah – Separuh Mati Ku Bercinta pukau penonton Separuh Akhir Muzik-Muzik 32

Bagaikan dipukau dengan vokal mempersona, lagu nyanyian Dayang Nurfaizah, Separuh Mati Ku Bercinta mengungguli minggu kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 (SFMM32) yang berlangsung Ahad lalu.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai itu dipilih oleh juri professional iaitu AG Coco, Azmeer, Edrie Hashim, Helen Yap, LY, Pak Ngah dan Datuk Mokhzani selaku ketua juri.

Namun, tidak semestinya lagu itu akan terus layak ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL 32) kerana masih berbaki 10 buah lagu yang bakal berentap di minggu terakhir dan keputusan hanya akan diumumkan pada 12 November ini.

Selain lagu itu, sembilan lagu lain yang turut bertanding antaranya Jangan Pernah Berdusta (Drama Band & Haiza), Aku Sanggup (Sufi), Rempuh (Tomok & Black), Jangan Menangis (Aizat), Harus Aku (Sufian Suhaimi), Zalikha (Floor 88), Warkah Untuk Mu (Ara), Permata Cinta (Aiman Tino) dan Terus Mencintai (Siti Nordiana).

Pentas separuh akhir malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan oleh Ajak dan Shuk (mashup lagu Ghazal Untuk Rabiah, Terukir Di Bintang, Ku Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Karma & Awan Nano).

Selain itu, turut membuat persembahan adalah Hafiz Suip dan Jaclyn Victor (Aku Negaraku), Ezlynn dan Siti Sarah (Hai Hai Bye Bye & Jangan Kau Mimpi).

Jangan lupa untuk saksikan persembahan 10 buah lagu lagi di Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 minggu ketiga untuk mengetahui 12 lagu yang bakal berentap di pentas AJL 32 yang bakal berlangsung Februari tahun hadapan.

SFMM 32 boleh juga ditonton secara langsung di portal video tonton (www.tonton.com.my) dan juga youtube @TV3Malaysia.

Jangan lupa untuk hashtag #SFMM32 bagi menghangatkan lagi minggu Separuh akhir Muzik-Muzik 32 di laman sosial anda!. Gambar oleh TV3

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini